Seorang wakil rakyat PAS mendakwa kempen Utamakan Barangan Orang Islam (BMF) telah berjaya menurunkan harga barangan dengan ketara.
Che Abdullah Mat Nawi (PAS- Tumpat) justeru mencadangkan ia dimasukkan sekali dalam kempen Beli Barangan Malaysia anjuran kerajaan.
“Dalam masa kerajaan menghadapi masalah untuk menurunkan harga barangan, tiba-tiba, dengan kempen BMF ini, tanpa perlu peruntukan kerajaan, tanpa perlu menggunakan pegawai dan jentera kerajaan, harga barangan khususnya barangan asas turun dengan ketara,” katanya.
Che Abdullah Mat Nawi (PAS- Tumpat) menyampaikan cadangan itu buat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat malam ini.
Dakwa Che Abdullah, kempen BMF lebih berkesan menurunkan harga barang berbanding pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan kerajaan bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Sedangkan, katanya, BMF hanyalah kempen spontan terhadap “pihak yang khianat mengotorkan makanan, melanggar peraturan halal seperti membiarkan anjing berkeliaran di atas makanan, memasukkan darah babi ke dalam kuah laksa, menjual ayam yang tak disembelih sebagai ayam halal, penemuan DNA babi dalam pelbagai makanan yang dikatakan halal dan banyak lagi”.
“Memandangkan program spontan rakyat ini sangat membawa kebaikan, saya mencadangkan kepada kementerian memasukkan program BMF ini ke dalam program Beli Barangan Malaysia,” katanya.
BMF merupakan kempen yang mengajak orang Islam mengutamakan barangan hasil pengeluaran atau yang dijual oleh orang Islam dan dikesan telah ada sejak akhir tahun lepas.
Kempen itu mula mendapat momentum Ogos lalu, di tengah-tengah timbulnya isu yang membawa kepada ketidakselesaan kaum dan agama seperti pengenalan Jawi di sekolah vernakular, kenyataan kontroversi Dr Zakir Naik, dan gesaan boikot barangan bukan Islam.
Kempen Beli Barangan Malaysia pula dilancarkan pada 1998 dan diteruskan pelaksanaannya sehingga kini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia setaraf dengan piawaian antarabangsa.
Ia melalui penjenamaan semula tahun ini bagi menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dan membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan.
Sementara itu, hairan dengan sikap sesetengah pihak terhadap kempen BMF, kata Che Abdullah, semua pemimpin sepatutnya menentang tindakan “pengkhianatan terhadap makanan” seperti yang didakwanya, bukannya menghalang kempen berkenaan.
“Semua pemimpin yang ada sedikit sense of humor, baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan, akan menentang tindakan yang sangat bertentangan dengan nilai kemanusiaan ini.
“Malangnya kita dapati, ada pimpinan yang menghalang tindakan rakyat yang mahu memastikan barangan makanannya bersih. Sepatutnya mereka ambil tindakan tegas ke atas pengkhianat-pengkhianat ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, akibat kesuntukan masa, timbalan menteri KPDNHEP Chong Chieng Jen tidak sempat memberi respons terhadap cadangan Che Abdullah itu semasa sesi penggulungannya, dan hanya akan memberikan jawapan bertulis.