Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Segala tuduhan ke atas Najib benar hingga dibuktikan sebaliknya’

ULASAN l Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah buat penghakiman perintah bekas perdana menteri, Najib Razak, bela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Dia diperintah bela diri atas tujuh tuduhan bersangkutan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan duit haram libatkan RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd (SRC) yang masuk dalam akaun peribadi dia.

Tujuh tuduhan itu adalah tiga melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali buat keputusan itu selepas dapati pihak pendakwa berjaya buktikan ada kes ‘prima facie’ bagi semua tuduhan ke atas Najib.

Dalam bahasa mudah, pendakwa telah berjaya yakinkan hakim bahawa ada bukti yang kuat Najib buat macam yang dituduh.

Maksudnya, setakat ini, pada pandangan kasar, segala tuduhan ke atas Najib adalah benar sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Jadi sekarang ini Najib disuruh oleh mahkamah bela diri dia. Sama ada keputusan terhadap dia kekal atau diubah bergantunglah kepada macam mana dia bela diri dia.

Tapi dia tidaklah akan bela diri seorang diri. Dia bukan penganggur yang curi makanan dari pasar raya kerana anak-anak di rumah lapar dan tak mampu upah peguam.

Najib orang kaya. Dia ada banyak peguam bela yang hebat-hebat untuk bantu dia. Mereka ini pula akan panggil saksi-saksi yang pada pendapat mereka boleh bantu lepaskan Najib.

Mereka akan sanggah bukti-bukti yang kata ada kes terhadap anak guaman mereka. Mereka akan guna macam-macam bukti dan bangkitkan macam-macam hal teknikal.

Tugas mereka lebih mudah daripada tugas pihak pendakwa. Pendakwa wajib buktikan tanpa sebarang keraguan kesabitan Najib. Mereka hanya perlu timbulkan keraguan yang berpatutan.

Selalunya kes kena buang pasal pendakwa raya gagal buktikan kes prima facie. Bila pendakwa raya berjaya buktikan kes prima facie selalunya lekatlah kes itu.

Jadi sekarang pandai-pandailah Najib pertahankan diri dia. Kita selalu dengar orang kata, pandai makan pandailah simpan, berani buat beranilah tanggung.

Tentang Najib kata dia terkejut tak dibebaskan itu perkara biasalah. Takkan dia nak kata dia tak terkejut sebab dia buat?

Tapi boleh jadi juga dia betul-betul terkejut pasal dia yakin peguam-peguam dia yang hebat macam Muhammad Shafee Abdullah boleh buang kes.

Bagi penyokong dia pula, sama ada daripada jenis yang tak tahu apa-apa, yang makan dedak atau yang tertutup fikiran, mereka tentulah kata dia dianiaya, mahkamah tidak adil dan dia mangsa konspirasi politik.

Biasalah!

Nak kata apa lagi?

Hina mahkamah

Cuma saya hendak minta pihak berkuasa macam mahkamah sendiri, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pantau dan ambil tindakan tegas ke atas perbuatan hina mahkamah.

Kita tidak boleh ambil mudah perbuatan hina mahkamah ini, sama ada secara sengaja atau pasal jahil undang-undang.

Dalam kehakiman, jahil undang-undang bukanlah alasan untuk langgar undang-undang atau untuk bela diri.

Buat masa ini, kita bagilah peluang kepada Najib bela diri dia. Dia pun bukan orang bodoh atau orang susah. Duit dia banyak dan dia pun belajar tinggi sampai ke England.

Dia pi mahkamah pun bukan digari. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tak pakaikan dia baju kemaja T warna oren macam orang lain. Kira dia ni istimewalah.

Jadi cukup-cukuplah simpati dengan dia. Dia bukan ibu tunggal yang curi roti pasar raya pasal tak ada duit dan anak-anak lapar. Itu pun kena jel juga. Inikan pula jenayah yang libatkan berpuluh juta duit rakyat jelata.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk "Bila ada kes prima facie Najib kena bela diri." Pandangan penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS