Ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang diburu ekoran dakwaan kaitannya dengan skandal 1MDB dilihat berada di Ahmedabad di India, menurut satu laporan.
Bagaimanapun Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan menafikan dakwaan itu.
Laporan Asia Times hari ini turut mendakwa Low berada di kota itu selama tiga hari sebelum berlepas dengan sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel pada 5 November untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut laporan itu yang memetik seorang pegawai penguatkuasaan yang tidak dinamakan, pergerakan Jho Low dipantau oleh polis tempatan yang tidak menahannya di sebalik notis merah Interpol terhadap lelaki itu.
Kata laporan itu lagi, jet peribadi Gulfstream G200 yang dinaiki Jho Low memaparkan 'tail number' (nombor pendaftaran yang dipaparkan di ekor pesawat) HS-VNT, yang dikendalikan syarikat penerbangan MJets yang berpangkalan di Thailand.
Bagaimanapun, MJets dilaporkan memberitahu Asia TImes bahawa Jho Low bukan salah seorang penumpang pesawat itu, dan sebarang kenyataan sebaliknya ialah "tidak benar, tidak berasas dan tidak disahkan".
Sementara itu, Abdul Hamid dilaporkan Free Malaysia Today sebagai menyifatkan laporan itu sebagai "berita palsu".
Malaysiakini telah menghubungi Polis Ahmedabad untuk mendapatkan maklum balas dan sedang menunggu respons mereka.
Abdul Hamid sebelum ini berulang kali menyatakan polis tahu akan lokasi Jho Low tetapi tidak mendedahkannya dengan lebih lanjut.
Beliau juga berkata pihak berkuasa negara di mana lelaki itu dipercayai bersembunyi enggan memberi kerjasama kepada polis Malaysia.