PRK TG PIAI | Di saat kempen PRK Tanjung Piai memasuki pusingan terakhir, isu pencapaian calon BN Wee Jeck Seng ketika menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) dibangkitkan.
Chan Foon Hin, yang dilantik sebagai pengerusi selepas Wee, mendakwa LPA sebelum ini mengeluarkan belanja besar untuk pengubahsuaian sebuah pejabat di Kuala Lumpur yang tak pernah digunakan.
Pengubahsuaian itu termasuk sebuah tandas berteknologi tinggi.
Menurut Chan, kos ubah suai itu mencecah RM343,180.50 dan LPA di bawah Wee mengikat kontrak sewa tiga tahun untuk pejabat itu dengan kos berjumlah RM526,836.96.
Chan yang juga anggota parlimen Kota Kinabalu daripada DAP, menyifatkannya sebagai pembaziran dana dan berkata kontrak itu tidak boleh ditamatkan.
"Adakah pengubahsuaian pejabat dan pemasangan tandas pintar lebih penting daripada mewartakan undang-undang kecil dan melantik operator pelabuhan?
"Jelas Wee memiliki keutamaan yang salah," katanya yang menggantikan Wee di LPA Tahun ini, dalam kenyataan hari ini.
Ketika dihubungi untuk maklumat lanjut, Chan berkata beliau hanya sempat ke pejabat itu baru-baru ini.
Selepas melihatnya (tandas itu) dengan mata sendiri, ia agak hebat. Apabila saya angkat bahagian tempat duduk, ia akan pam air secara automatik...Saya tak pernah melihat (tandas) sepertinya sebelum ini," katanya lagi.
Semalam, Wee mencabar Pengerusi DAP Victoria Utara, Wong Kwan Kit untuk membuat laporan polis jika ada salah laku dalam keputusan LPA untuk menyewa pejabat itu.
Jurucakap MCA Chan Quien Er mempertahankan rekod Wee sebagai pengerusi LPA, dan berkata sebarang keputusan yang dibuat lembaga itu diluluskan ahli lembaga pengarah dan bukan diputuskan oleh pengerusi sahaja.
Pejabat LPA di Kuala Lumpur yang kosong itu turut disebut dalam laporan audit negara, antara lain berkenaan tujuan pejabat itu tidak dinyatakan.
"Pasukan audit mendapati pejabat sewa itu diubahsuai tetapi tanpa perabot dan kelengkapan pejabat.
"Maka tujuan menyewa pejabat ini dengan kos RM526,836.96 (untuk tiga tahun) tidak dapat dijelaskan," katan laporan itu.
Pasukan audit mengesyorkan kontrak sewa disemak semula kerana ia melibatkan "pembaziran dana awam".