LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salahguna kuasa dan pengubahan wang haram brekaitan dana 1MDB memasuki hari ke-34 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.
Perbicaraan ditangguh, Shahrol, Shafee dapat MC
10.15 pagi: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan terhadap Najib Razak hari ini dan esok berhubung dakwaan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Ini disebabkan saksi pendakwaan kesembilan Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat meneruskan prosiding hari ini kerana masalah kesihatan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan penangguhan oleh DPP Gopal Sri Ram dan peguam bela Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammad.
Sri Ram memberitahu hakim bahawa bekas CEO 1MDB Shahrol masih dalam cuti sakit (MC) hari ini.
Wan Aizuddin kemudian memberitahu mahkamah bahawa Shafee (gambar atas) juga mendapat MC dari hari ini sehingga 14 Nov.
Peguam itu berkata Shafee diberi MC semalam selepas berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan jangkitan tekak.
"Peguam kanan (Shafee) masih memikirkan untuk datang (ke mahkamah) hari ini, tapi pagi ini dia dapati bahawa dia terlalu sakit untuk hadir," kata Wan Aizuddin.
Sequerah kemudian membenarkan perbicaraan hari ini dan esok ditangguhkan.
Hakim juga menetapkan 13 Dis untuk pengurusan kes bagi memuktamadkan tarikh perbicaraan kes 1MDB awal tahun depan, bagi memastikan ia tidak bertembung dengan kes SRC International.
Tarikh perbicaraan Najib berkaitan 1MDB dijangka berlangsung dari 6 hingga 9 Jan tahun depan, tertakluk kepada perbicaraan SRC Internasional yang sedang berjalan.
Tarikh perbicaraan 1MDB adalah dari Januari hingga April tahun depan.
9.59 pagi: Najib Abdul Razak memasuki kandang tertuduh.
9.45 pagi: Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gopal Sri Ram dan beberapa anggota pasukan pembelaan Najib Razak dilihat memasuki kamar hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.
Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah tidak dilihat berada di mahkamah setakat ini.
9.30 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam sambil menunggu prosiding bermula.
Selepas prosiding ditangguhkan dua hari lalu, perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang masuk hari ke-34 akan diteruskan pagi ini.
Pada Isnin llau, perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah ditangguhkan- kira-kira jam 12.40 tengah hari - selepas saksi ke-9 pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak berapa sihat untuk meneruskan keterangannya.
Hakim juga membenarkan perbicaraan itu diteruskan hari ini dan bukannya semalam berikutan keadaan kesihatan Shahrol.
Secara kebetulan pada awal hari Isnin, perbicaraan 1MDB juga ditangguhkan pada prosiding sebelah pagi untuk membenarkan Najib dan pasukan pembelaannya menghadiri kes berasingan di Mahkamah Tinggi.
Kes berkenaan adalah berkaitan dana RM2 juta SRC International, di mana Najib diperintahkan untuk membela diri terhadap tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Perbicaraan 1MDB di hadapan hakim Sequerah disambung semula sekitar jam 9.30 pagi dan peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah dijangka akan meneruskan sesi soal balas terhadap saksi berkenan.
Shahrol telah menjadi saksi selama 22 hari, iaitu kira-kira satu pertiga daripada tempoh perbicaraan setakat ini.
Beliau telah disoal balas oleh pihak pembelaan selama 15 hari.