Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cina sokong BN untuk redakan kempen BMF, kata Khalil
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

PRK TG PIAI | Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, mendakwa pengundi Cina di Tanjung Piai menunjukkan sokongan kepada BN kerana beranggapan ia dapat mengurangkan sentimen BMF (buy Muslim first) atau utamakan barangan Muslim.

Dalam kenyataannya hari ini, anak presiden PAS itu mendakwa, hal itu juga berlaku kerana ia dapat meredakan polemik kaum dan agama yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat terbabit.

"Ditambah dengan sentimen politik semasa yang menggusarkan kaum Cina, beralih kepada BN dilihat lebih memanfaatkan mereka dan dilihat mampu mengurangkan sentimen BMF, mahupun kehangatan perdebatan kaum dan agama yang dilihat tidak memberikan manfaat kepada mereka," katanya.

BMF ialah kempen digerakkan kumpulan tertentu yang pada asalnya menyasarkan kegiatan ekonomi untuk membantuk peniaga Melayu. Justeru ia dikenali sebagai kempen "buy Malay first" (utamakan barangan Melayu).

Apabila mendapat kecaman kerana dilihat rasis, penggerak dan pendukung kempen itu mengubah kempen tersebut menjadi "buy Muslim first". Meskipun ia kelihatan tidak membabitkan parti pembangkang, beberapa pemimpin Umno dan PAS menunjukkan sokongan mereka kepada kempen tersebut.

Untuk rekod, PAS dan Umno memberikan sokongan padu kepada calon MCA, Wee Jeck Seng, bagi mewakili mereka dalam PRK Tanjung Piai walaupun majoriti pengundi di kawasan parlimen itu adalah Melayu.

Susahkan kaum Cina

Mengulas mengenai Tanjung Piai, Khalil berkata tanda-tanda semasa menunjukkan PH akan gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi Allahyarham Md Farid Md Rafik pada PRU ke-14 tahun lalu.

Katanya, program BN terutama bersama Wee dipenuhi penduduk Tanjung Piai, terutama masyarakat Cina.

Pada masa sama, kata Adun Batu Burok itu, serangan DAP - salah satu parti dalam PH - terhadap Muafakat Nasional tidak memberi kesan kepada PAS, Umno atau Wee.

"Saya berpendapat kaum Cina berkemungkinan sedar sokongan kepada DAP tidak memberikan faedah kepada mereka, terutamanya untuk jangka panjang.

"Kaum Cina yang rata-rata berpegang kepada janji manifesto PH sudah berasakan mereka tertipu.

"DAP yang sebelum ini dianggap pembela kaum Cina sudah mula tidak dipercayai kerana terpalit dengan pelbagai skandal.

"Retorik DAP yang seolah-olah memusuhi orang Melayu Islam seperti menyusahkan kaum Cina yang rata-ratanya terbabit dalam perniagaan seperti kempen BMF yang menjejaskan perniagaan mereka," katanya.

Justeru, kata Khalil kemungkinan besar faktor ekonomi memainkan peranan utama mengalihkan sokongan kaum Cina kepada BN.

"Benar, calon PH kali ini adalah (Melayu) daripada Bersatu namun jika kalah, DAP sebenarnya yang harus dipersalahkan kerana DAP telah menjadi beban kepada PH," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS