Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kempen rumah ke rumah perlu ada permit polis, kata SPR
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 5:43 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Semua parti dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan bahawa kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata selain itu, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Katanya semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen.

“Semalam telah diadakan perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR bersama dengan Ketua Polis Daerah Pontian serta pegawainya. Tujuan perjumpaan adalah bagi menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan permit dan peraturan berkempen terutama berkaitan dengan program walkabout yang diadakan oleh semua calon atau parti yang bertanding.

“ Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa pihak PDRM meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Azhar lagi, bahan kempen yang berunsurkan hasutan dan provokasi, tidak memaparkan nama dan alamat penerbit dan pencetak akan diturunkan.

Katanya bendera yang dikibar atau digantung di tepi jalan yang boleh menggangu penglihatan dan berbahaya pada orang ramai juga akan diturunkan.

Dalam kenyataan itu, Azhar berkata SPR dan polis turut menggariskan peraturan mengenai penggunaan bendera parti serta berkempen menggunakan kenderaan.

Azhar berkata bendera yang dikibar atau digantung pada kenderaan berkempen secara berbahaya kepada orang ramai juga akan diambil tindakan sewajarnya.

“Kenderaan berkempen yang dipasang dengan bendera serta alat pembesar suara serta bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi hendaklah memohon permit berkempen daripada polis.

“Kenderaan berkenaan hendaklah menutup suara dan sebarang rakaman kempen semasa bergerak, dan hanya membukanya apabila kenderaan berhenti di lokasi berkempen yang bersesuaian serta tidak menghalang lalu lintas,” tambahnya.

Menurut Azhar, SPR juga akan melaporkan maklumat berkaitan statistik kesalahan serta statistik bilangan laporan polis dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat sepanjang tempoh berkempen di Facebook,Twitter dan laman web SPR setiap hari, sepanjang tempoh PRK itu.

“ SPR berharap semua calon dan parti akan berkempen dengan lebih matang sepanjang tempoh berkempen yang berbaki lima hari lagi, serta mematuhi peraturan berkempen agar PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

SPR menetapkan Sabtu sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai. PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), dan Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon Bebas ialah Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK tersebut diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Md Farid yang mewakili PH menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS