Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR tangani 90 kesalahan kempen PRK Tanjung Piai
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menangani sebanyak 90 kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, setakat pagi ini.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata kesalahan berkenaan yang telah ditangani oleh Pegawai Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR), antaranya meletakkan kain rentang di tempat yang salah dan gagal mempamerkan nama pencetak pada bahan kempen.

Katanya setakat ini juga pihak polis telah menerima sebanyak 31 kes laporan berhubung kesalahan ketika berkempen bagi PRK itu, manakala tiga aduan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Dua kes kesalahan dirujuk kepada SPRM berhubung pemberian sim kad prabayar secara percuma dan berkaitan pemberian bantuan RM1,000 kepada golongan nelayan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Ditanya sama ada SPR menerima aduan daripada mana-mana pihak mengenai kehadiran menteri yang kerap turun berkempen serta memberikan bantuan, beliau berkata: "Setakat ini tiada sebarang aduan."

"...tetapi sekiranya seseorang itu berpendapat bahawa sesuatu itu tidak betul, seharusnya dia membuat laporan kepada SPRM atau polis kerana pegawai penguat kuasa kami jumlahnya kecil, contohnya nampak gegantung yang (diletak di tempat) salah kita akan turunkan, dari segi rasuah adalah SPRM," tambahnya.

Mengenai kad pengundian, Azmi mengingatkan pengundi supaya membawanya bersama pada hari pengundian bagi memudahkan lagi proses untuk mengundi.

“ Hari ini (undi awal) , ramai pengundi datang dengan kad pengundian, diharapkan pengundi lain pun memanfaatkan sepenuhnya kad berkenaan (pada hari pengundian Sabtu ini),” katanya.

Bagi pengundi yang masih tidak dapat kad tersebut, beliau berkata ia tidak menjadi masalah kerana petugas SPR boleh melakukan semakan seperti biasa.

Seramai 280 pegawai dan anggota polis terlibat dalam undi awal PRK Parlimen Tanjung Piai hari ini, di pusat mengundi Bangunan Perkep, IPD Pontian.

Pengundian awal hari ini yang bermula pada 8 pagi sehingga 5 petang ini melibatkan dua saluran iaitu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dan DUN Kukup (Saluran 2).

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN), calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS