Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Eddin Syazlee buat masa ini stabil'
Diterbitkan:  Nov 11, 2019 2:02 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith, yang mengalami sesak nafas pagi ini semasa menghadiri sidang Dewan Rakyat, berada dalam keadaan stabil buat masa ini.

Beliau tiba di unit kecemasan Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira pukul 11.20 pagi ini selepas dikejarkan dengan ambulans dari Parlimen.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada timbalan menteri itu Farahiah Zubir ketika ditemui Bernama di IJN berkata Ahli Parlimen Kuala Pilah itu kini berada di Unit Jagaan Rapi Jantung untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Eddin mengalami sesak nafas ketika Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sedang menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang merupakan soalan ketiga pada sesi pagi ini.

Beliau ketika itu dilaporkan baru sahaja tiba di Dewan Rakyat dan hendak duduk sebelum dilihat tiba-tiba tidak bermaya dan terduduk mengejut di kerusinya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dengan serta-merta menangguhkan sesi persidangan kira-kira 10 minit untuk membolehkan ahli Parlimen lain serta pasukan perubatan Parlimen memberikan beliau bantuan segera sebelum dikejarkan ke IJN.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS