Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Perak ajak Faizal sertai Muafakat Nasional
Diterbitkan:  Nov 11, 2019 10:34 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

PAS Perak dilaporkan 'melamar' Ahmad Faizal Azumu menyertai gagasan Muafakat Nasional yang mempertemukan mereka dengan Umno selepas menteri besar negeri itu mencetus kontroversi berhubung kata-katanya mengenai DAP di Tanjung Piai beberapa hari lalu.

Menggunakan hujah demi agama dan bangsa, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata beliau bersimpati terhadap Ahmad Faizal yang didakwanya bersendirian "melawan puak-puak DAP".

Justeru, kata Razman, menteri besar Perak itu bersama beberapa Adun yang menyertai PH sebelum ini wajar menyertai Muafakat Nasional.

“Kedudukan beliau (Ahmad Faizal) bertambah parah dengan kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dan Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh yang jelas dan nyata menentang kenyataan diulasnya.

“Pertelingkahan sesama ahli kerajaan akan memberi kesan langsung kepada pentadbiran negeri.

"Bagaimana boleh mereka berada dalam kapal sama kalau punya hala tuju berbeza dan nakhoda asyik bercakaran? Ini amat merugikan rakyat," katanya seperti dipetik harakahdaily.

Menurut Razman, apa yang berlaku di Perak adalah seperti tikus sedang membaiki labu dan kehidupan rakyat lebih teruk berbanding dulu.

Dua Adun Umno melompat

Keadaan itu, katanya, menyebabkan banyak peruntukan kini disekat.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Umno memenangi 27 kerusi manakala PAS pula - yang menyasarkan matlamat menjadi kerajaan - hanya menguasai tiga kerusi.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian bekas exco yang juga Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi, menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal Azumu, sebagai menteri besar Perak.

Kedua-dua mereka kemudian meninggalkan Umno dengan Zainol Fadzi menyertai Bersatu dan menjadi penasihat menteri besar. Nolee Ashilin pula memilih menjadi wakil bebas.

Kerajaan Negeri Perak hari ini ditadbir oleh PH yang mempunyai sebanyak 30 kerusi. Daripada jumlah itu, Amanah mempunyai 6 kerusi, Bersatu (2), PKR (4) dan DAP (18).

Dalam klip video tular itu, Ahmad Faizal dipaparkan hadir satu pertemuan tidak rasmi dengan beberapa individu, termasuk calon PH bagi PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Faizal antara lain bercakap tentang keseorangan dalam berdepan dengan DAP di Perak.

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita.

"Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah... kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya," katanya.

Faizal juga berkata dia tidak duduk bersama menteri ketika hari penamaan calon PRK Tanjung Piai sebaliknya bersama Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS