Pemuda Bersatu Perak menyifatkan video yang merakam kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkenaan DAP dan menteri Pakatan Harapan (PH) disebarkan untuk mencetuskan suasana tidak harmoni antara parti komponen PH.
Ketuanya Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh menyifatkannya sebagai "strategi lapuk" dan menyeru semua pihak dalam PH agar tidak termakan dengannya.
"Saya ingin menegaskan bahawa video tersebut sama sekali tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbualan menteri besar Perak pada waktu itu.
"Tindakan pihak yang memuat naik hanya sebahagian video daripada keseluruhan perbualan semasa berkempen untuk calon PH Karmaine Sardini jelas bertujuan untuk mencetuskan ketidakharmonian di kalangan komponen PH," katanya dalam kenyataan.
Dalam video itu, Faizal antara lain bercakap tentang keseorangan dalam berdepan dengan DAP di Perak.
"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita.
"Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah... kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya," katanya dalam satu perbincangan tidak rasmi.
Beliau juga berkata tidak duduk bersama menteri ketika hari penamaan calon PRK Tanjung Piai sebaliknya bersama Umno.
Susulan itu, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan kenyataan itu sebagai memalukan dan Faizal tidak layak untuk menjadi menteri besar.
DAP Perak pula menerusi setiausahanya Wong Kah Woh berkata kenyataan itu bercanggah dengan permuafakatan dalam PH dan Faizal perlu memohon maaf kepada Majlis Presiden PH.
Dalam reaksinya, Faizal berkata rakaman itu diambil di luar konteks dan tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula berkata kenyataan Faizal mungkin pengalaman peribadinya di Perak, dan menyifatkan DAP tetap rakan penting dalam kerajaan negeri itu.