Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK TG PIAI | Berjasa mengumumkan secara rasmi untuk bertanding di Tanjung Piai pada 1 Nov dengan mempertaruhkan presidennya, Badhrulhisham Abdul Aziz, sebagai calon.

Dengan azam untuk mengangkat aspirasi Melayu-Islam, Dr Badrulhisham - atau juga dikenali sebagai Dr Badh - menyatakan mereka mampu menang, malah dengan majoriti 2,000 undi.

Antara alasan diberi ialah, pada PRU tahun lalu calon yang bertanding mewakili PAS di Tanjung Piai sebenarnya ialah ahli Berjasa dan mereka memperoleh sebanyak 2,962 undi.

Antara gerakan Badrulhisham pada awal kempen ialah melakukan tinjauan tanah perkuburan di Pekan Nenas.

Dia kelihatan mesra dan mendengar segala permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di situ serta berjanji untuk memberikan bantuan yang termampu.

Tinjauan Malaysiakini mendapati memang ada individu mendakwa penyokong PAS yang kurang yakin dengan calon dari MCA disokong partinya.

Pengerusi Masjid Kampung Parit Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli dan mengaku sebagai ahli PAS, berpendapat undinya wajar diberikan kepada calon beragama Islam.

“Saya orang PAS, jadi saya sokong orang Islamlah.

"Berjasa mungkin ada harapan sebab kami pun susah nak percaya kepada BN, macam mana dia nak jaga orang Melayu macam kami?" katanya.

Ramli.

Ditanya mengenai calon PH, Ramli, 59, berkata dia tidak mengenali Karmaine Sardiri dari Bersatu itu.

"PH memang letak calon Melayu tetapi saya tak kenal dia siapa, tiba-tiba muncul bertanding,” katanya yang tinggal di Pekan Nanas.

Menurut Ramli memang Berjasa ada peluang untuk mendapat undi yang banyak daripada penyokong PAS sebelum ini.

“BN pula, ini kawasan orang Umno tapi kenapalah letak orang Cina… haaa itu lah pak cik rasa,” katanya ketika ditemui pada sidang media Berjasa di masjid berkenaan.

Hadir tanda sokongan

Senada dengan Ramli, seorang lagi penduduk yang mendakwa penyokong PAS, Adly Ahmad, 33, berkata dia keliru untuk memberikan undinya.

Bagaimanapun, dia membayangkan lebih tertarik kepada Berjasa atas faktor calon mereka adalah orang Melayu.

“Macam inilah, penyokong PAS keliru sekarang nak undi BN sebab calonnya Cina dan Berjasa pula letak Melayu.

"Jadi memang tak mustahil penyokong PAS - walaupun tak ramai - akan memberikan undi kepada Berjasa. BN letak Cina tu, tak best-lah,” katanya.

Calon Berjasa melawat kawasan kubur.

Berjasa kini memang dilihat giat menggerakkan jenteranya untuk meraih undi Melayu dengan menumpukan kawasan ramai penyokong PAS seperti Pekan Nanas.

Beberapa sesi ramah mesra bersama penduduk juga diadakan pada waku siang, manakala ceramah pernah diadakan pada waktu malam.

Menurut analisis Institut Darul Ehsan (IDE) pada PRU14, jumlah penyokong PAS di Tanjung Piai cuma sebanyak 6 peratus dengan Pekan Nanas - iaitu di daerah mengundi Parit Kudus, Tanjung Ayer Hitam, Ladang South Malaya, Melayu Raya, Kampong Lubok Sawah, Tenggayon dan Pengkalan Raja Pontian - serta Telok Kerang dan Parit Rambai di Kukup menjadi tumpuan.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52, 986 pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah Melayu, 41.52 peratus Cina 1 satu India dan 0.09 peratus bumiputera Sabah.

Budi silam masih dikenang

Sementara itu, Malaysiakini mendapati tidak semua orang yang mengaku penyokong PAS berpendapat seperti Ramli dan Adly.

Di majlis ceramah perdana BN, penyokong PAS setempat masih dilihat hadir sebagai tanda sokongan kepada Wee.

Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Jihan ,50, berkata tidak ada masalah untuknya mengundi calon BN walaupun ia bukan Melayu.

“Berjasa memang tak ada harapan. Dulu mereka bertanding bolehlah dapat undi sebab PAS sokong, sekarang macam susah saja.

Jihan

"Kalau ada pun menyokong, mungkin segelintir tapi majoriti orang PAS di sini akan memberikan undi kepada MCA.

“Tak kisah sama ada calon itu Melayu atau Cina, kalau boleh buat kerja tak salah kita undi,” katanya yang merupakan penduduk Kukup.

Sarkawi Banjar, 64, pula berkata akan menurut apa saja yang diarahkan pemimpin partinya.

“Pemimpin dah kata undi MCA, kita undilah. Lagi pula Wee Jeck Seng kami kenal, orang bagus tu,” katanya.

Rakannya, Mohamad Kasian Salim, 67, dari Pekan Nanas berkata Berjasa sukar untuk mendapat undi PAS dan kurang selesa dengan calon yang tidak dikenali.

“Sekarang kami orang PAS di sini nak sokong MCA," katanya.

Sarkawi (kiri) bersama Mohamad Kasian.

Sementara itu kalangan pengundi Melayu penyokong BN juga masih teringat jasa Wee semasa ketua MCA Tanjung Piai itu menjadi ahli parlimen selama dua penggal sebelum PRU ke-14.

Aminah Abdul Rahim, 60, berkata dia sentiasa mengingati Wee ketika menjadi anggota parlimen di tempat tersebut, antara lain kerana calon terbabit pernah membantu suaminya menukar kanta mata.

“Wee ni kami kenal dah lama, dia pernah bantu suami saya pada masa tu tak ada duit nak tukar kanta mata,” katanya.

Tidak ketinggalan, Zaharah Tahir, 51, yang masih berasa terasa hutang budi kepada Wee, malah berasa terkilan apabila dia kalah kepada Allahyarham Md Farid Md Rafik pada PRU lalu.

Zaharah

“Mak cik pun terasa hutang budi dan akan undi dia sekali lagi dalam PRK ini,” katanya.

Namun begitu, terdapat juga cakap-cakap mengatakan orang Umno sendiri tidak berpuas hati dengan keputusan MCA yang melobi agar Wee diletakkan sebagai calon.

Ketua Umno Cawangan Serkat Laut, Norhisham Othman, mengaku pada awalnya terdapat beberapa cawangan yang tidak puas hati dengan keputusan meletakkan Wee sekali lagi.

Namun, katanya, rasa tidak puas hati itu reda apabila pemimpin pusat menjelaskan rasional di sebalik keputusan mereka. 

Idris

Penyokong Umno, Idris Ahmad, 56, berkata walaupun Wee orang Cina dan majoriti di Tanjung Piai adalah Melayu, ia bukan faktor untuk menghalang mereka mengundi BN.

“Wee memang Cina tetapi dia banyak bantu Melayu, saya tinggal sini dah lama. Waktu dia jadi ahli parlimen, saya ada.

“Tak mustahil dia boleh dapat undi Melayu walaupun kaum berbeza,” katanya yang tinggal di kawasan Ayer Hitam, Pekan Nanas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS