Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Amanah nafi suapan politik, kata bantuan cakna masalah rakyat
Diterbitkan:  Nov 7, 2019 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Pemuda Amanah hari ini menafikan pengumuman beberapa bantuan yang dibuat oleh menteri dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, baru-baru ini adalah suapan politik.

Sebaliknya, kata Timbalan Pemuda Amanah, Faiz Fadzil, kritikan berkenaan termasuk daripada ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein Hishammuddin jelas menunjukkan sikap beliau yang tidak sensitif akan masalah rakyat.

"Kenyataan Hishammuddin yang menyelar kedua-dua menteri ini menunjukkan kerisauan beliau terhadap prestasi kerajaan PH yang cukup prihatin kebajikan rakyat dengan pelbagai dasar baharu dan pendekatan menteri menyantuni rakyat.

"Menteri-menteri PH adalah pejuang rakyat yang selama ini cukup cakna denyut nadi rakyat dan kini mereka berpeluang untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Sikap dan pendekatan sebegini yang berpotensi menawan hati rakyat yang menjadi mimpi ngeri buat pemimpin pembangkang yang gagal melaksanakannya sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kritikan Hishammuddin terhadap Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub Mohamad yang didakwa menyalahgunakan kedudukan mereka untuk berkempen.

Hishammuddin yang juga bekas menteri pertahanan dilaporkan berkata beliau terkejut apabila Mohamad atau juga dikenali sebagai Mat Sabu bertindak membela nelayan yang bukan di bawah portfolio kementeriannya.

“Apa yang dilakukan oleh menteri pertahanan adalah manifestasi sikap beliau selama ini yang berjuang membela nasib rakyat termasuk golongan nelayan yang sudah lama terbelenggu dengan kemiskinan,” katanya.

Tambah Faiz, walaupun tanpa PRK Tanjung Piai, nasib golongan nelayan sudah pun dibela oleh kerajaan PH di mana pelbagai insentif dan subsidi diberikan termasuk elaun sara hidup sebanyak RM250 sebulan bermula Januari 2020, subsidi petrol dan diesel dan insentif pendaratan ikan.

Mengenai penularan video mengaitkan Salahuddin yang dikatakan berkempen di kawasan sekolah, pemimpin Amanah itu berkata tindakan berkenaan tidak boleh dilihat sebagai suapan politik.

“(Ini) kerana sebagai pejuang rakyat, beliau (Salahuddin) kini tidak hanya bercakap kosong tetapi melakukan apa yang dikata (walk the talk) dengan membantu pihak sekolah yang memerlukan sumbangan.

“Lagipun, sumbangan tersebut atas kapasiti pemimpin kerajaan yang mengangkat agenda kebajikan rakyat sebagai agenda utama kerajaan hari ini,” kata Faiz.

Hishamuddin sebelum ini berkata, selaku bekas menteri pendidikan, beliau tidak tergamak melakukan apa yang dibuat oleh menteri Amanah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS