Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nelayan Tg Piai mahu mekanisme pemberian khas RM1,000 dikaji

Kaedah dan mekanisme pemberian bantuan khas RM1,000 bagi nelayan Johor Selatan seperti yang diumumkan kerajaan negeri semalam, perlu diteliti semula bagi mengelakkan berlakunya masalah pembayaran.

Komuniti nelayan di Jeti Pangkalan Nelayan Parit Penghulu Mukim Serkat, Tanjung Piai, kira-kira 30 minit dari Pontian ketika ditemui rata-rata berharap sistem pemberian itu melalui proses yang sistem dan tersusun agar tidak menyusahkan mereka.

Jamaluddin Mohamad berkata antara masalah yang mungkin berlaku adalah nama tiada dalam senarai dan nelayan perlu korbankan masa ke darat sebanyak tiga kali untuk mengambil pemberian.

Rakannya, Jahuri Nawi pula berpendapat adalah lebih baik sekiranya pemberian itu dimasukkan terus ke dalam akaun bank dengan satu jumlah (RM1,000) dan bukannya sebanyak tiga kali pembayaran.

Seorang lagi nelayan, Alias Awang mencadangkan agar kerajaan negeri mendekati dan berbincang dengan nelayan terlebih dahulu berhubung mekanisme pembayaran yang dijanjikan tersebut.

Seorang lagi nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Faizul berkata jika benar pemberian wang ihsan itu akan dilaksanakan, ia akan digunakan untuk membeli jaring untuk menangkap udang.

“Bersyukurlah juga. Dapat beli 10 jaring udang. Itu pun tidak cukup sebab kena tambah duit sendiri sedikit. Kena pandai rancang. Sekarang pun pendapatan menjaring udang tidak begitu baik berbanding dahulu,” katanya.

Mohamad Saman pula berkata adalah lebih baik sekiranya jumlah tersebut dipertingkatkan kepada RM2,000 mengambil kira kepayahan para nelayan mendapatkan hasil tangkapan dan peningkatan kos ekonomi.

Dilaporkan, seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan membabitkan kawasan Gelang Patah dan Pulai (432 nelayan), Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau (537) serta Pontian dan Tanjung Piai (544 nelayan).

Pemberian bantuan khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta itu akan berikan secara berperingkat melalui tiga fasa bermula minggu hadapan tetapi tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.

Sebelum, ini laporan media yang memetik dakwaan segelintir masyarakat nelayan di Tanjung Piai bahawa wang sagu hati atau wang ihsan yang pernah dinikmati sejak 2016, masih belum diterima sehingga kini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS