Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Kelantan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kerana mengiktiraf dua lapangan minyak hak milik negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, ia susulan pengumuman oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali mengenai perkara itu sebelum ini.

"Kita ucap terima kasih kepada kerajaan persekutuan sebab ini kali pertama mereka iktiraf dan mengakui bahawa ada telaga minyak di perairan Kelantan.

"Selama ini tak ada (pengiktirafan), Kelantan tak berhak. Semua di luar tiga batu nautika.

"Jadi dengan kenyataan menteri hal ehwal ekonomi itu adalah satu pengakuan dan pengiktirafan kepada hak Kelantan. Ini satu perkembangan yang baik," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Azmin menjelaskan bahawa bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan setakat ini adalah daripada dua lapangan pengeluaran, iaitu lapangan Bumi Selatan dan Suria Selatan yang berada dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

Sementara 10 lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, justeru hasil daripada lapangan tersebut belum disalurkan kepada mana-mana negeri.

Katanya, bayaran tunai royalti minyak oleh Petronas terhadap 10 lapangan tersebut disalurkan ke akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD) berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019 sementara menunggu persempadanan ditentukan.

Tambahnya, hasil perbincangan yang dilakukan semalam, perdana menteri bersetuju supaya bayaran tunai royalti akan dibayar terus oleh Petronas kepada kerajaan negeri seperti yang dilaksanakan terhadap Sabah dan Sarawak, bertepatan dengan semangat perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Pada 14 Oktober, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan bahawa pembayaran royalti minyak Kelantan telah dilakukan bulan lalu, namun kerajaan negeri hanya menganggap bayaran iti sebagai Wang Ihsan.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, kerajaan Kelantan berharap isu persempadanan 10 lagi lapangan mengeluaran dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Katanya, untuk menyelesaikanya ia perlu mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

"Ini kerana semua dokumen dan maklumat (berkaitan) ada dengan mereka (Jupem). Kita di pihak kerajaan negeri bersedia buat kerja-kerja itu dan kita pun dah kenalpasti juruukur.

"Jadi kita minta semua pihak memberi kerjasama kepada kita, itu paling penting. Kalau selesai cepat lagi baik, kalau lambat baik bahagikan dua hasil itu misalnya Kelantan separuh dan Terengganu separuh.

"Alangkah baik apa yang dipertikaikan sehingga isu ini selesai, bahagikan dua terus. Sebab tentu ada bahagian Kelantan dan Terengganu," katanya.

Tambah anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor berkata, isu perbincangan antara kerajaan negeri dan persekutuan sebelum ini tidak berjalan dengan lancar dan kini diharap akan diberi kerjasama oleh semua pihak.

"Kita memang sudah bersedia, yang lepas-lepas itu perkara ini tak berjalan dengan lancar, jadi kita harap dengan pengumuman menteri itu, semua pihak boleh beri kerjasama kepada kita," kata Mohd Amar yang juga naib presiden PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS