Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Lagi kuat pembangkang menegur, lagi kuat kita kerja’
Diterbitkan:  Nov 5, 2019 1:38 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Demikian menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung dakwaan bahawa pakatan parti pembangkang mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan dan menjadi jurucakap kepada orang Melayu, berpaksikan kerjasama terbaharu UMNO-PAS.

Tegasnya, pembangkang hanya boleh berjanji dan tidak boleh melaksanakannya kerana bukan berada di bawah tampuk pemerintahan yang kini ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Mereka boleh cakap. Tapi tidak boleh ‘deliver’. Sekuat mana cakap, mereka kerusi pembangkang, bukan kerusi kerajaan.

“Kami diamanahkan rakyat menjadi kerajaan. Jadi kami mendengar, kami ‘deliver’. Jadi rakyat pasti akan faham. Lagi kuat mereka (pembangkang) menegur, lagi kuat kita bekerja. Sehingga kini, sistem penyampaian kita dapat kurangkan ketirisan dan rasuah,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra di Pasar Pagi Serkat, kira-kira 30 minit dari Pontian hari ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ceramahnya dua malam lepas mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Parlimen Tanjung Piai disifatkan sangat penting kerana ia boleh memberi laluan kepada UMNO dan PAS menjadi jurucakap kepada orang Melayu.

Semalam, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini turut menempelak cakap-cakap kononnya kerjasama UMNO-PAS bakal membuahkan hasil sekaligus menjadi jurucakap kepada orang Melayu.

Karmaine yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkata ini kerana peranan itu kini digalas PH melalui kuasa di pentadbiran pusat dan di negeri Johor dalam menyelesaikan masalah berkaitan orang Melayu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine dengan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS