Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cari Jho Low sampai lubang cacing, kata Muhyiddin

Kerajaan tidak akan berputus asa dalam meneruskan pemburuan terhadap Low Taek Jho, atau Jho Low meskipun terdapat dakwaan wajah ahli perniagaan itu telah dibedah "menyerupai beruang dan jalan seperti seladang", kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

“Kita tak akan berhenti sampai kita dapat kerjasama dari negara yang kita agak di mana dia (Jho Low) berada dan kalau ada kerjasama Interpol (polis antarabangsa) bantu, perkara itu akan dapat kita selesaikan.

“Tapi apa pun kita tak akan berhenti untuk cari (Jho Low) sampai ke lubang cacing,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berhubung perkembangan terbaru pemburuan Jho Low.

Menurut Abdul Hamid, pihak berkuasa negara di mana lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai bersembunyi enggan memberi kerjasama kepada polis Malaysia.

"Antara alasan diberikan mereka, termasuk kononnya dia (Jho Low) sudah mengubah rupanya dengan menjalani pembedahan muka dan menyerupai beruang.

“Muka dia dikatakan sama seperti muka beruang. Saya tidak tahulah, tetapi kononnya dia sekarang sudah mengubah rupa bentuk mukanya,” katanya kepada pemberita dalam satu program di Sabah, seperti dipetik Berita Harian.

Malah menurut Abdul Hamid bukan itu sahaja dakwaan aneh yang dibuat pihak berkuasa negara tersebut.

“Ada ketikanya dia berjalan akan menyerupai seekor tambadau (seladang). Jadi, bila kita lihat dari belakang, begitulah rupanya. Adakah logik alasan diberikan ini (oleh pihak berkuasa negara itu),” katanya lagi, tanpa menyebut secara khusus negara itu.

Pada September lalu, Abdul Hamid berkata polis telah mengenal pasti lokasi Jho Low dan sedang berunding dengan pihak berkuasa negara itu untuk membawanya pulang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS