Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan membidas kenyataan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini agar rakyat bersyukur dengan harga minyak sawit semasa.
“Saya rasa ini mungkin antara akibat terlebih minum minyak sawit. Mereka sedang selesa di Putrajaya, rakyat pula diminta bersyukur.
“Ini semua nak halalkan tindakan mereka hapus dan kurangkan bantuan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Meskipun tidak mengulas secara lanjut, kenyataan Zahida juga dilihat sebagai sindiran terhadap Menteri Industri Utama Teresa Kok yang pada April lalu berkongsi bahawa dia minum sesudu minyak sawit setiap hari untuk awet muda.
Dalam kiriman sama, Zahida turut mencabar Karmaine untuk menyara hidup dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
“OK! Kita cabar beliau hidup dengan income (pendapatan) banyak tu, dalam zaman PH yang serba mahal bila terpaksa bayar cukai berganda SST dan cukai-cukai lain sekarang ni,” katanya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahwa Karmaine yang berucap di pusat daerah mengundi Penerok malam tadi, berkata PH menerima banyak aduan tentang harga minyak kelapa sawit yang merosot ke RM270 bagi setiap satu tan.
“Kita RM270 tu patut syukur sangat sebenarnya. (Harga) RM270 tu banyak, bukan sikit... banyak sebenarnya.
“Kalau ada kebun 10 ekar, (boleh) dapat lima tan paling tidak, lima tan darab RM270, dapat RM1,000 lebih.
“Duduk kampung apa sangat nak bayar? Nak makan sayur, tanam sendiri. Cuma yang perlu isi minyak. Benda ini kena syukur walaupun sedikit, kita masih dapat makan,” katanya.
Dia turut berkata keadaan pernah menjadi lebih teruk semasa negara ini di bawah pemerintahan BN apabila harga minyak sawit jatuh serendah RM87 setan.
Karmaine akan berdepan dengan lima calon lain bagi mempertahankan kerusi Tanjung Piai untuk PH.
Calon lain adalah bekas penyandang dua penggal Tanjung Piai Wee Jeck Seng yang mewakili BN, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
Awal pagi ini, lebih 150 yang terdiri daripada penduduk Felda berhimpun di hadapan Parlimen membantah harga minyak sawit.