Rakyat negara ini berpeluang menyaksikan gerhana matahari Anulus (Cincin) pada 26 Disember ini yang berlaku di kawasan Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.
Pengarah Planeterium Negara Anita Bahari berkata, fenomena ini yang berlaku setiap 20 tahun, kali ini hanya akan berlaku di dua kawasan tersebut sahaja kerana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.
“Tanjung Piai terkenal dengan gelaran Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Benua Asia di Pontian, Johor.
“Kita jangka seramai 30 ribu orang datang ke Tanjung Piai bagi menyaksikan fenomena tersebut.
“Kebetulan Tanjung Piai adalah pusat pelancongan terkenal di Johor. Ia menjadi tumpuan dunia kerana pergerakan gerhana berlaku di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita semasa sidang media gerhana matahari Analus, di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, fenomena itu akan berlangsung pada jam 11.26 pagi (fasa pertama) dan menghasilkan Anulus (fasa empat) tepat jam 1.21 petang di Tanjung Piai - manakala di Serian bermula jam 11.49 pagi dan menghasilkan gerhana penuh pada jam 1.46 petang.
Berbeza di kawasan lain di seluruh negara - Anulus akan hanya berlaku di Tanjung Piai dan Serian manakala kawasan lain di negara ini hanya dapat menyaksikan gerhana matahari separa bermula kira-kira pukul 10.30 pagi sehingga 3.30 petang.
Gerhana matahari Anulus berlaku apabila matahari dan bulan berada sebaris - disebabkan saiz bulan yang kecil menyebabkan matahari seolah-oleh kelihatan seperti sebentuk cincin - menghasilkan cahaya terang pada lingkarannya.
Anulus pernah terjadi pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor dan fenomena sama dijangka berulang pada April 2042 akan datang.
Anita juga menasihatkan orang ramai yang ingin menyaksikan fenomena itu supaya tidak melihat gerhana Anulus secara terus dan disaran menggunakan peralatan yang sesuai bagi mengelakkan masalah penglihatan atau buta kekal.
Selain itu, bersempena fenomena berkenaan juga, Planetarium Negara dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai turut mengadakan festival SolarFest Malaysia 2019 bermula 24 sehingga 26 Disember ini.
Festival yang menyasarkan 30,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran itu juga bakal disertai ahli-ahli astrofizik dan selebriti tempatan, melibatkan pelbagai acara antaranya kempen kesedaran alam sekitar dan pameran solar Gastronomi.
Pada kemuncak acara 26 Disember nanti, orang ramai khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan gerhana matahari cincin melalui teleskop dan cermin mata yang disediakan oleh Planetarium Negara.