Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mereka kata Jho Low bedah wajah macam beruang, jalan seperti seladang'
Diterbitkan:  Nov 4, 2019 4:38 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Perkembangan terbaru pemburuan terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, membabitkan hidupan liar pula.

Menurut Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, pihak berkuasa negara di mana lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai bersembunyi enggan memberi kerjasama kepada polis Malaysia.

"Antara alasan diberikan mereka, termasuk kononnya dia (Jho Low) sudah mengubah rupanya dengan menjalani pembedahan muka dan menyerupai beruang.

“Muka dia dikatakan sama seperti muka beruang. Saya tidak tahulah, tetapi kononnya dia sekarang sudah mengubah rupa bentuk mukanya,” katanya kepada pemberita dalam satu program di Sabah, seperti dipetik Berita Harian.

Malah menurut Abdul Hamid bukan itu sahaja dakwaan aneh yang dibuat pihak berkuasa negara tersebut.

“Ada ketikanya dia berjalan akan menyerupai seekor tambadau (seladang). Jadi, bila kita lihat dari belakang, begitulah rupanya. Adakah logik alasan diberikan ini (oleh pihak berkuasa negara itu),” katanya lagi, tanpa menyebut secara khusus negara itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Hamid berkata pihaknya tetap terbuka untuk berbincang dengan pihak berkuasa negara luar dan sanggup mendengar syarat mereka.

Katanya, mana-mana negara perlu bekerjasama dalam hal seperti itu dan bukan melindungi penjenayah.

"Ini jenayah, dia (Jho Low) merompak wang sebuah negara dan dia mendapat perlindungan di sebuah negara lain,” katanya.

Semalam, akhbar Cyprus Politis mendakwa Jho Low mendapatkan pasport dari negara itu di saat pihak berkuasa hampir menjejaknya pada 2015.

Laporan itu turut dipetik laman Sarawak Report, yang merupakan pihak awal mendedahkan skandal 1MDB.

Menurut laporan itu, Jho Low mendapatkan khidmat broker pasport dan kewarganegaraan, Henley & Partners untuk mendapatkan pasport negara kepulauan itu.

Ia dibuat menerusi Pelan Pelaburan Cyprus, yang memerlukan pihak yang berminat untuk mendepositkan sejumlah lima juta euro ke dalam bank Cyprus untuk tempoh tiga tahun, dan membeli kediaman kekal bernilai paling kurang 500,000 euro.

Low membeli sebuah villa bernilai lima juta euro di sana pada 23 September 2015 untuk memenuhi syarat itu, kata laporan itu lagi.

Abdul Hamid berkata polis sedang menyiasat perkara itu.

"Kami menerima laporan berkenaan perkara ini yang dia (Jho Low) menggunakan mereka (negara itu) yang memerlukan wang untuk ekonomi mereka," katanya lagi.

Pada September lalu, Abdul Hamid berkata polis telah mengenal pasti lokasi Jho Low dan sedang berunding dengan pihak berkuasa negara itu untuk membawanya pulang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS