Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Pembangkang perlukan bukan Islam yang tak ekstrem
Diterbitkan:  Nov 4, 2019 9:45 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

PRK TG PIAI | PAS hari ini sekali lagi memberikan justifikasi mengapa parti itu memberikan sokongan penuh kepada calon MCA untuk bertanding di kerusi parlimen Tanjung Piai.

Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata gabungan pembangkang pada ketika ini perlu kepada "bukan Islam yang tidak ekstrem" untuk menyampaikan suara kepada kerajaan.

"PAS melihat pakatan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk, iaitu MCA yang ada satu kerusi sahaja (di Dewan Rakyat)," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun Abdul Hadi memberi bayangan ketetapan itu bukan bersifat mutlak dan terbuka kepada pandangan yang lain pada masa depan.

"Untuk PRU (pilihan raya umum) akan datang, formula ini mungkin berubah dengan melihat senario dan strategi semasa untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional di peringkat yang lebih besar," katanya.

Kenyataan anggota parlimen Marang itu dibuat ketika PAS berdepan kritikan dan persendaan atas sikap mereka yang dianggap selalu berubah mengikut keperluan parti terbabit.

Akhirnya PAS terbuang

Misalnya, Abdul Hadi sendiri menggesa pengundi memilih calon beragama Islam ketika PH meletakkan calon bukan Melayu dan bukan Islam dalam PRK Cameron Highlands.

PAS juga sering menegaskan keperluan kuasa politik Melayu diperbanyakkan di Dewan Rakyat dengan mendakwa kerajaan ketika ini dikuasai DAP - parti yang dianggap mereka sebagai cauvinis Cina.

Bagaimanapun untuk PRK Tanjung Piai PAS memberikan sokongan penuh kepada pemimpin MCA Johor, Wee Jeck Seng, untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PH.

Malah PAS mengarahkan anggota parti itu yang mengundi di Tanjung Piai supaya memangkah Wee dan bukan calon Berjasa - salah satu parti yang membentuk Gagasan Sejahtera bersama PAS - yang turut bertanding.

Kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, parti itu tidak mendapat restu untuk menyertai PRK Tanjung Piai.

“Kita akan beri arahan kepada ahli PAS untuk tidak undi Berjasa, tidak satu undi pun. Semua harus undi MCA,” katanya. 

Wee ialah anggota parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sebelum dikalahkan Allahyarham Md Farid Md Rafik dalam PRU ke-14 tahun lalu.

MCA menunjukkan prestasi sangat buruk dalam PRU 2018 apabila hanya seorang saja calonnya - Dr Wee Ka Siong - berjaya mengekalkan kerusi di Dewan Rakyat.

Abdul Hadi berkata PAS menganggap PRK Tanjung Piai merupakan simbol bagi konsep taawun parti itu dengan parti pembangkang lain.

Beliau juga menjelaskan PAS sentiasa tegas dalam isu Islam dan ia dibuktikan melalui beberapa kerjasama yang dimeterai mereka sebelum ini.


Baca Siapa 6 calon bertanding di Tanjung Piai?


"PAS (pernah) bersama Pakatan Rakyat dan tegas bersama Islam, namun PAS tidak bersama dengan kalangan yang mahu menyamakan agama (pluralisme) ataupun ingin mencontohi parti Islam luar negara yang tidak sama pendekatan dan ruang demokrasi dengan negara kita, kerana demokrasi di Malaysia tidak mengharamkan parti bernama Islam.

"Akhirnya PAS terbuang dan mereka menubuhkan Parti Amanah mengikut pendekatan tersebut.

"PAS bertegas bahawa Islam saja yang paling benar dan tinggi, dan menerima hak kebebasan beragama lain tanpa menghalang penganut bukan Islam mempercayai agama masing-masing yang benar di sisi mereka.

"PAS menolak konsep semua agama adalah benar yang mengira semua agama sama sahaja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS