Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis K'tan rampas kulit kepala harimau
Diterbitkan:  Nov 3, 2019 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Kulit kepala harimau yang sudah dikeringkan adalah antara barangan yang dirampas polis Kelantan dalam Ops Khazanah yang dilaksanakan di negeri ini sejak bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata, rampasan itu dilakukan dalam satu operasi yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, malam tadi.

Beliau berkata turut dirampas adalah dua batang gigi taring harimau, kuku harimau dan sekeping kulit harimau yang sudah dikeringkan.

"Dalam serbuan di semua rumah di Kampung Lubuk Bunut pukul 12.30 tengah malam tadi itu polis turut menahan seorang penjawat awam berusia 52 tahun.

Polis akan menyiasat lebih lanjut perkara itu termasuk bagi mengetahui apakah tujuan lelaki berkenaan menyimpan khazanah negara itu. Adakah untuk dijual ataupun sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas (KCK) Kelantan dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, ACP Daud Omar bertukar ke Pahang dengan digantikan oleh ACP Jalaludin Hamid dari IPK Pahang.

Sementara, Ketua JSPT Kelantan akan diisi oleh Ketua Polis Besut, Terengganu iaitu Supt Mohd Zamri Mohd Rowi mengantikan Supt Markandan a/l Subramaniam yang ditukarkan ke Bahagian Latihan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata pada 30 Oktober lalu, polis Kelantan turut menahan dua lelaki berusia 40 an dalam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat di mana pelbagai bahagian anggota haiwan disyaki daripada pelbagai jenis hidupan liar seperti harimau, rusa dan gajah dirampas.

“Berkaitan isu ini polis menyeru kepada masyarakat supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui ada mana-mana individu yang menyimpan khazanah negara ini. Pihak berkenaan sebenarnya melakukan satu kesalahan yang boleh didenda dan dipenjarakan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS