Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jika benar pihak yang membuat tuduhan itu mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai perkara itu, mereka diminta membawanya semula ke mahkamah.
“Berkaitan dengan beberapa kenyataan serta tuduhan umum yang telah dibuat oleh peguam dan ahli politik tertentu terhadap perbuatan yang kononnya menyalahi undang-undang yang telah dilakukan oleh pegawai-pegawai polis ke atas tahanan kes LTTE, maka saya dengan tegasnya di sini membuat penafian.
"Saya berdiri teguh di atas penjelasan yang telah diberikan oleh pegawai-pegawai saya bahawa dakwaan itu adalah tidak berasas sama sekali dan amat tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, beberapa portal melaporkan dakwaan berlakunya kes lima daripada 12 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dikaitkan LTTE didera dan diseksa.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan berlakunya kejadian tahanan SOSMA didera dan diseksa sepanjang ditahan dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, KDN telah menyemak dakwaan itu dengan Abdul Hamid dan pegawai terlibat dan mendapati dakwaan itu tidak benar.
Abdul Hamid berkata, apa yang perlu difahami ialah fakta bahawa dakwaan salah laku polis itu dibuat oleh mereka selepas ia dijalankan secara tertutup (in camera) di kamar hakim.
"Patutnya semua pihak mestilah menghormati proses undang-undang ini dan tidak membuat tuduhan melulu di khalayak umum," katanya.
Abdul Hamid berkata, beliau telah merujuk perkara itu kepada pihak Peguam Negara dan sedang menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya.
- Bernama