Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ezam gesa siasatan segera terhadap Hisham, Azmin
Diterbitkan:  Nov 2, 2019 11:58 PM
Dikemaskini: 3:58 PM

Bekas senator Ezam Mohd Noor menggesa siasatan dilakukan terhadap bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, masing-masing atas tuduhan rasuah dan seks.

Gesaan itu dibuat ketika kedua-dua pemimpin politik berkenaan dikaitkan dengan rancangan membentuk kerajaan melalui 'pintu belakang'.

Dalam satu kenyataan, Ezam mempersoalkan mengapa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bertindak pantas dalam kes membabitkan dua pemimpin politik itu.

"Seharusnya wujud keperluan menyegerakan siasatan (urgency) di dalam kes-kes yang membabitkan kedua mereka setelah nama mereka ditampilkan dalam Parlimen berkomplot mengganggu gugat kerajaan sedia ada dengan usaha menubuhkan sebuah kerajaan baru melalui pintu belakang.

"Usaha mengganggu gugat kerajaan melalui pintu belakang adalah jenayah politik jijik kelompok elit politik di saat negara dan rakyat menghadapi suasana ekonomi yang parah," kata beliau.

Hishammuddin sebelum ini menafikan dakwaan beliau berkomplot untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah serta mahu menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

Azmin turut dikaitkan dengan rancangan itu namun mengatakan dakwaan berkenaan dilakukan pihak  "terdesak" yang sebenarnya mahu membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Ezam merujuk isu pertukaran tanah ketika Hishammuddin menjadi menteri pertahanan serta dakwaan salah guna kuasa dalam pembelian 6 helikopter McDonnell Douglas berharga RM300 juta.

Beliau turut merujuk kepada isu video seks sejenis yang dikaitkan dengan Azmin sebelum ini.

Hishammuddin menafikan terlibat dalam sebarang salah laku, manakala Azmin berkata video seks yang dikaitkan dengannya adalah percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

'PDRM, SPRM dah jadi alat politik?'

Ezam mendakwa kedua-dua pemimpin berkenaan mempunyai 'motif menyelamatkan diri' daripada dakwaan jenayah rasuah dan seks dengan menggugat kestabilan kerajaan.

"Apakah PDRM dan SPRM sudah menjadi alat dan perkakas kepada pemimpin politik dan bertindak atas motif politik?

"Kebimbangan kita berasas kerana jelas kedua-dua pemimpin politik ini sepertinya dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang oleh PDRM dan SPRM sendiri," dakwanya.

Ezam berkata pihaknya berhak berasa curiga kerana dalam kes membabitkan Najib Razak, bekas perdana menteri itu diburu dan didakwa.

Bagaimanapun, katanya, Hishammuddin yang merupakan sekutu rapat Najib masih bebas walaupun terdapat laporan dibuat terhadapnya.

"Apakah Hishammuddin mendapat layanan berbeza kerana beliau bukan sahaja rapat dengan PM dahulu tetapi juga rapat dengan PM sekarang?

"Dengan latar belakang ini semua, apakah salah untuk kita mendakwa PDRM dan SPRM adalah alat dan perkakas politik? Dan kalau tidak, maka buktikan dengan menyiasat dan bawa ke pengadilan segera Hishammuddin dan Azmin," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS