Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: K'jaan pintu belakang takkan berjaya, ditentang Dr M
Diterbitkan:  Nov 2, 2019 10:13 PM
Dikemaskini: 2:14 PM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng percaya sebarang percubaan menubuhkan "kerajaan pintu belakang" tidak akan menjadi kenyataan kerana idea tersebut ditentang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara bersama Oriental Daily, Lim menjelaskan usaha seumpama itu merupakan salah satu cabaran terbesar dihadapi Pakatan Harapan (PH) sekarang.

"Bahaya sebenar adalah deep state (daulah terpendam) dan (plot) kerajaan pintu belakang kerana ini akan memberi peluang pemimpin yang disingkirkan kembali berkuasa. Inilah bahayanya. Tapi, Mahathir sangat tegas dan segera menolak idea tersebut.

"Jadi, bila Mahathir tolak, plot ini tidak akan lagi menjadi mungkin," katanya kepada akhbar harian Cina tersebut.

Setiausaha Agung DAP itu juga menjelaskan sebarang rancangan untuk menyusun semula kerajaan memerlukan persetujuan Bersatu.

Beliau tidak nampak sesiapa daripada DAP atau Amanah bersekongkol dengan rancangan itu dan tidak menjangkakan PKR akan meninggalkan kerajaan yang ada sekarang.

Selain ditentang Dr Mahathir, Lim berkata beliau tidak melihat 'angka' mencukupi untuk menjayakan "kerajaan pintu belakang" pada masa ini.

Bulan lalu, empat parti komponen PH secara terbuka mendakwa Anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein berusaha membentuk kerajaan tanpa DAP dan Amanah; dan memberi amaran untuk menghentikan usaha tersebut.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Selain pimpinan Umno, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa beberapa pemimpin dari Bersatu dan PKR turut didakwa terlibat dalam plot yang dikatakan  untuk memastikan Mahathir menghabiskan penggal sebagai perdana menteri, sekali gus menghalang laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan itu.

Dalam wawancara tersebut, Lim juga memberikan nasihat kepada kesemua ahli politik.

"Dalam politik, anda perlu jelas siapa yang menjadi rakan dan musuh. Kerana jika kita tidak jelas tentang ini, bukan sahaja anda akan menderita, anda juga akan gagal.

"Ini adalah asas kefahaman yang semua ahli politik perlu kuasai," katanya.

Daulah terpendam

Satu lagi cabaran yang kini dihadapi kerajaan PH adalah 'deep state' atau 'daulah terpendam', kata Lim.

Dalam artikel itu, Lim menjelaskan dakwaan bahawa kewujudan 'pasukan rahsia' di pelbagai jabatan kerajaan yang berada di belakang isu melibatkan DAP baru-baru ini.

Antaranya tuduhan terhadap pemimpin DAP dan dakwaan ahli parti itu terlibat dengan kumpulan militan Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), serta isu mengenai komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan: Meraih Manfaat Bersama’.

Walaupun bimbang 'ejen-ejen' daulah terpendam; ini akan menjatuhkan PH dan menghalang agenda pembaharuan, Lim tidak percaya mereka mampu menyingkirkan PH.

Lim memberitahu PH mempunyai masa yang cukup untuk menangani isu itu dan beliau sendiri mempunyai pengalaman dalam menghadapi situasi yang sama ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Tolak perbezaan dan ikut pelan peralihan kuasa

Lim seterusnya menolak kebimbangan mengenai kemampuan DAP dan Bersatu untuk bekerjasama.

Walaupun beliau mengakui terdapat pergeseran di peringkat akar umbi dan bahagian, beliau berkata itu adalah "perkara biasa" dalam sistem demokrasi.

"Akar umbi kedua-dua parti memang berpecah sedikit. Ia adalah satu cabaran untuk menyelesaikan ini dan itulah sebabnya kita perlu "membina lebih banyak jambatan daripada tembok" antara satu sama lain," katanya.

DAP katanya memberi jaminan akan menyokong sepenuhnya Bersatu pada pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Sementara itu, Lim berkata partinya menyokong Anwar sebagai perdana menteri  kerana selaras dengan perjanjian PH mengenai isu peralihan kuasa.

Beliau menggesa semua pihak menghentikan spekulasi mengenai tarikh peralihan yang tepat kerana Mahathir dan Anwar yakin penyerahan kuasa akan berlaku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS