Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masyarakat bukan Islam seronok, teruja dapat masuk Masjid Wilayah

Teruja dan seronok, begitulah perasaan yang dapat digambarkan oleh masyarakat bukan Islam yang hadir pada program Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Bukan saja dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kamum, malah mereka juga gembira kerana sedikit sebanyak dapat memahami keindahan Islam.

Bagi Yap Yoke Phooi, 52 dia datang dari Puchong bersama anaknya bagi menyertai program hari terbuka berkenaan.

"Ini pertama kali saya masuk (ke kawasan masjid), saya ingatkan sebelum ini tidak boleh masuk. Mereka memberikan saya tudung untuk pakai.

"Saya cukup teruja dan seronok dapat hadir ke hari terbuka ini. Bagi saya ini program yang bagus dan perlu kerap diadakan.

"Bukan saja dapat mengeratkan perpaduan, sedikit sebanyak saya dapat mengetahui tentang Islam dan orang Melayu," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Program Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Nordin Ibrahim.

Pelbagai acara diaturkan sempena hari terbuka itu yang bermula seawal jam 7 pagi dan berakhir sekitar jam 4 petang.

Sementara itu bagi seorang lagi pengunjung bukan Islam yang hanya mahu dikenali sebagai Shan, 53, memaklum dia datang dari Melaka bagi menghadiri hari terbuka itu.

Katanya, dia membawa bersama anaknya yang turut menyertai pertandingan kaligrafi tulisan khat.

"Pertama kali anak saya datang sini untuk menyertai pertandingan seni kaligrafi tulisan khat, kami sememangnya sudah mengenali seni tulisan khat.

"Di Melaka saya banyak juga bergaul dengan orang Islam dan masjid--masjid di Melaka ada mengadakan program sebegini.

"Program sebegini dapat memupuk persefahaman yang baik antara kaum dalam negara ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS