Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada restu untuk Berjasa, PAS arah semua ahli undi MCA

PRK TG PIAI | Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjelaskan parti itu tidak memberi restu kepada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelasnya, semua ahli PAS diarahkan untuk mengundi calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng.

“Apa yang saya boleh beritahu sebetulnya Berjasa tidak mendapat restu dari PAS (untuk bertanding).

“Walaupun Berjasa dari Gagasan Sejahtera, kami juga sudah nasihat mereka untuk tidak letak calon tetapi mereka letak, itu kehendak mereka.

“Kita akan beri arahan kepada ahli PAS untuk tidak undi Berjasa, tidak satu undi pun. Semua harus undi MCA,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian hari ini.

Gagasan Sejahtera merupakan pakatan yang mendakwa sebagai blok kuasa ketiga dan diwujudkan pada 2016. Pakatan itu dianggotai PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Pada hari pencalonan pagi tadi, Berjasa diwakili presidennya Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai seorang calon yang bakal bertanding pada PRK itu.

Semalam, Badhrulhisham memberitahu bahawa Berjasa mampu mengungguli persaingan dengan kelebihan antara 1,500 hingga 2,000 undi.

Beliau juga mendedahkan pada PRU ke-14 lalu, calon yang diturunkan PAS untuk bertanding di Tanjung Piai juga  adalah ahli Berjasa.

'Kita tengok berapa banyak undi mereka dapat'

Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan jumlah undi sebanyak 2,962 yang diperoleh anggota Berjasa, Nordin Othman pada PRU lalu adalah atas bantuan PAS.

“Tidak tidak, masa lalu Berjasa bawah bendera PAS kerana itu mereka dapat 2,900 lebih undi, tetapi kali ini mereka bertanding sendiri dan kita tengoklah berapa banyak undi mereka boleh dapat,” katanya.

Tambahnya, calon BN Wee Jeck Seng dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi PRK tersebut.

“Pada rekod PRU-14, kita berjaya dapatkan 2,900 lebih undi manakala majoriti PH juga menang dengan hanya 500 undi.

“Jadi kita rasa, kita ada peluang baik untuk ambil balik Tanjung Piai,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Pada PRU ke-14, Farid memenangi kerusi Parlimen itu apabila memperoleh 21,255 undi, menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Berjasa menimbulkan sentimen tidak baik susulan keputusan bertanding di PRK itu.

“Sentimen kaum jangan duduk negara ini selama-lamanya, hantu hasut orang terutama isu perkauman. Bentangkan, hidangkan politik matang,” katanya.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru selain Berjasa iaitu calon dari Pakatan Harapan (PH), BN, Gerakan dan dua calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini dengan tarikh mengundi pada 16 November manakala 12 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS