Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet lulus penubuhan Suruhanjaya Undang-undang, Ombudman - Liew
Diterbitkan:  Nov 1, 2019 10:13 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Suruhanjaya Undang-undang dan Ombudsman Malaysia sebagai inisiatif berterusan pembaharuan undang-undang Kerajaan Pakatan Harapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong dalam kenyataan hari ini berkata Ombudsman adalah badan bebas yang mengamalkan kesaksamaan dalam menyelesaikan kes aduan awam terhadap agensi kerajaan.

“Ombudsman merupakan platform untuk orang awam menyalurkan aduan dan kilanan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan kerajaan berfungsi dengan cekap dan berkesan ke arah demokrasi yang berakauntabiliti.

“Penubuhan Ombudsman Malaysia bertujuan meningkatkan kepercayaan orang ramai dan mengatasi trust deficit (defisit kepercayaan) terhadap kewibawaan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya sambil menambah bahawa cadangan penubuhan suruhanjaya itu bermula sejak 2011.

Mengenai Suruhanjaya Undang-undang Malaysia, Liew berkata suruhanjaya itu akan mengkaji semula dan mengesyorkan pembaharuan undang-undang yang diperlukan kerajaan bagi menunaikan Janji 27 Manifesto Buku Harapan, iaitu menghapuskan undang-undang yang zalim.

“Suruhanjaya Undang-undang Malaysia berperanan memastikan pembaharuan undang-undang dilaksanakan secara holistik, efektif serta sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang di negara kita.

Menurut Liew, Suruhanjaya Undang-Undang yang bersifat bebas itu dapat meningkatkan akauntabiliti menteri dan kementerian berkaitan dalam proses serta pelaksanaan pembaharuan undang-undang.

Selain itu, Liew berkata suruhanjaya yang dicadangkan tidak akan mengambil alih tugas pembaharuan undang-undang daripada mana-mana kementerian atau jabatan sebaliknya berperanan menambah baik dan menyokong usaha pembaharuan undang-undang oleh pelbagai pihak.

“Selaras dengan konsep kerajaan terbuka, sesi libat urus bersama pemegang taruh akan diadakan untuk mendapat maklum balas semua lapisan masyarakat tentang penubuhan Suruhanjaya Undang-undang dan Ombudsman Malaysia,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS