PRK TG PIAI | Tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE), mengenai pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai mendapati 83 peratus responden berkata mereka akan mengundi parti yang sama semasa PRU14 lalu.
Daripada jumlah itu, 53 peratus responden Melayu berkata akan mengundi parti yang sama pada PRK kali ini, maklum IDE yang dimiliki kerajaan Selangor.
Timbalan Pengarah IDE, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman membentangkan hasil kajian institut itu hari ini yang berdasarkan tinjauan daripada 1,518 responden.
Menurutnya, bagi pengundi Melayu yang masih belum memutuskan calon mana yang hendak diundi, mereka akan berhadapan dilema untuk memilih antara calon PH Karmaine Sardini dan calon BN Wee Jeck Seng.
Ini kata Redzuan terutamanya buat penyokong setia Umno yang masih belum membuat keputusan.
"Dengan calon yang seorang imam, saya difahamkan dia (Karmaine) ada dua tahfiz dan dilemma pengundi Melayu.
"Nak undi (calon) Cina, tapi PAS kata tak boleh menjadi kuda (tunggangan) DAP itu. (Jadi) macam mana dengan MCA?
"Ini akan menjadi satu perbincangan nanti dan sejauh mana parti akan menggunakan sentimen ini," katanya.
Jelasnya, pengundi Melayu dalam kategori ini berkemungkinan tidak akan keluar mengundi.
"Jadi, akhirnya nanti, bagi mereka yang menganggap undi ini soal pahala dan dosa, dia akan pilih yang mana paling kurang sekali.
"Tak keluar mengundi lah," katanya.
Mengulas lanjut hasil tinjauan itu, Redzuan berkata faktor calon akan menentukan pola pengundian pilihan raya kecil ini.
"[...] faktor calon dia akan menentukan bagaimana pengundian (dibuat).
"Mahu tidak mahu dalam konteks Malaysia ini, ras pun kita tak lari lagi, masih ada element-elemen tertentu," katanya lagi.
Tinjauan yang dibuat dari 18 ke 20 Oktober lalu sebelum parti politik mengumumkan calon-calonnya itu berdasarkan responden penduduk yang menepati pengundi parlimen tersebut dari segi kaum, jantina dan umur.
Walaupun kebanyakan responden tinjauan itu berkata mereka akan mengundi parti politik yang sama ketika PRU14 lalu, namun pecahan mengikut kaum mendedahkan hanya 41 peratus responden Cina berkata akan berbuat demikian.
Tinjauan IDE juga mendapati majoriti pengundi Cina masih belum membuat keputusan siapa yang hendak dipilih pada hari pengundian 16 November akan datang.
Pada PRU14, sokongan pengundi Cina dan pertembungan tiga penjuru dengan calon PAS, membolehkan PH merampas kerusi tradisi MCA itu dengan majoriti tipis 524 undi.
Redzuan ketika ditanya menjangkakan pengundi Cina, terutama mereka yang tinggal dan bekerja di luar Johor akan teragak-agak untuk mengundi.
Kaji selidik itu menunjukkan bahawa kira-kira 56 peratus daripada semua responden berkata mereka mempunyai ahli keluarga yang mengundi di Tanjung Piai tetapi tinggal di tempat lain.
"56 peratus yang mereka ditanya ini - keluarga - ada keluarga yang pengundi luar - bekerja di Singapura, luar negeri, Johor Bahru dan sebagainya.
"Untuk mereka balik itu, itu merupakan sesuatu komitmen. Komitmen akan berlaku jika mereka rasakan perkara yang menyentuh.
"Maksudnya, walaupun tak setuju kepada PH, (pengundi) Cina yang juga tidak puas hati kepada PH, tidak semestinya dia menyeberang kepada BN.
"Sama ada dia tak balik atau dia buat keputusan dia tak mengundi," katanya kepada Malaysiakini.
Selanjutnya, Redzuan meramalkan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah tetapi enggan memberikan anggaran.
Katanya, ini akibat rasa tidak puas hati pengundi Cina terhadap PH dan rasa tidak puas hati Melayu terhadap calon MCA.
Tinjauan IDE menunjukkan 69 peratus responden telah memutuskan tentang siapa yang akan diundi sementara yang lain (31 peratus) tidak dapat diputuskan.
Bagi responden Cina, bagaimanapun tinjauan IDE menyatakan hanya 36 peratus responden telah membuat keputusan. Ini adalah perbezaan yang ketara berbanding responden Melayu, di mana kebanyakan (63 peratus) mengatakan bahawa mereka telah membuat keputusan.
PH mengumumkan akan meletakkan Ketua Bahagian Tanjung Piai dan bekas imam Karmaine Sardini sebagai calon pada pilihan raya kecil akan datang.
BN pula menampilkan bekas MP Tanjung Piai selama dua penggal dan Ketua Bahagian MCA Wee Jeck Seng. Parti pembangkang Gerakan dan Berjasa turut mengumumkan hasrat bertanding di kerusi tersebut.
Pengundi Tanjung Piai terdiri daripada 57 peratus Melayu, 42 peratus Cina dan satu peratus India.
Bagaimanapun, Redzuan enggan menyatakan parti mana yang mempunyai peluang yang lebih baik pada PRK ini tetapi berkata parti yang akan menang bakal mendapat majoriti tipis.
Redzuan berkata dengan kerjasama Umno-PAS melalui Muafakat Nasional, maka BN mempunyai peluang yang lebih baik jika hasil keputusan PRU14 diterjemahkan dalam pilihan raya kecil ini.
Pada pilihan raya umum lalu, penambahan undi BN dan PAS merangkumi 51.7 peratus daripada jumlah keseluruhan undi manakala PH pula mendapat 46.3 peratus.
Walau bagaimanapun, perbezaannya adalah kini PH mentadbir kerajaan persekutuan dan negeri.
Beliau juga berkata berdasarkan PRU14, PH popular di kawasan yang lebih padat penduduknya dan boleh diakses di kawasan itu; yang memerlukan kurang kerahan jentera kempen pilihan raya.