Kesemua empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah ketika ini sesak dengan 7,200 tahanan pendatang tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Filipina dan China.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesesakan itu berpunca ekoran kapal yang sepatutnya membawa pendatang tanpa izin warga Filipina untuk tujuan pengusiran kini dalam proses selenggara.
"Syarikat yang diberikan perkhidmatan tender bagi menguruskan perkhidmatan pengusiran berdepan isu kapal, ketika ini kapal dari Filipina itu sedang melalui proses ‘drying dock’ (proses memastikan keselamatan kapal dan pelayaran) selama dua bulan.
"Bagaimanapun, proses servis itu akan selesai dan dijangka pada 10 Nov ini kapal berkenaan beroperasi semula dengan membuat pelayaran ke perairan Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program suntikan vaksin hepatitis V dan vaksin influenza melibatkan 103 pegawai dan anggota MKN di Tawau, hari ini.
Empat PTS yang terdapat di Sabah adalah di Papar, Kota Kinabalu, Sibuga di Sandakan dan Tawau.
Dalam pada itu, Sharifah Sitti Saleha turut memuji kerjasama diberikan Konsulat Republik Indonesia di negeri ini yang cekap dan pantas menguruskan penghantaran balik warga republik itu ke Indonesia melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
"Bagi warga Filipina pula dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Zambonga Filipina," katanya menambah sehingga Ogos tahun ini, MKN telah menghantar 7,844 warga asing pulang ke negara asal.
Sementara itu, berhubung dakwaan berlakunya kehilangan barangan milik tahanan di PTS, Sharifah Sitti Saleha meminta individu yang terlibat membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada MKN.
"Supaya kami (MKN) dapat membuat siasatan lanjut, kerana apa yang berlaku sekarang ini cuma 'hearsay', kalau boleh mana yang terlibat buat aduan polis agar ’team’ boleh buat siasatan," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung dakwaan itu.
Berkaitan program hari ini, Sharifah Sitti Saleha berkata ia program julung kali diadakan MKN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang turut melibatkan 480 pegawai dan anggota di seluruh PTS di negeri ini diberi suntikan vaksin.
Sharifah Sitti Saleha berkata program ini inisiatif MKN untuk menjaga kebajikan petugasnya yang berisiko dihidapi penyakit berjangkit daripada tahanan ketika melaksanakan tugas seharian di semua PTS di Sabah.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada anggota atau pegawainya yang dilapor dijangkiti penyakit berjangkit ketika bertugas.
- Bernama