Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes cabar sekolah Cina, Tamil: MCA mahu jadi pencelah
Diterbitkan:  Oct 31, 2019 3:31 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

MCA mahu terlibat sama dalam kes kedudukan sekolah vernakular yang kini dirujuk ke mahkamah.

Setiausaha agungnya, Chong Sin Woon berkata mereka akan memohon menjadi pencelah atau amicus curiae (sahabat mahkamah) jika mahkamah menerima kes tersebut bulan depan.

“Jika mahkamah menerima kes tersebut pada 4 November ini, maka MCA akan berusaha mencampuri prosiding sebagai sebuah parti, sama ada melalui permohonan intervener (pencelah) bagi mencabar permohonan tersebut, atau sebagai rakan mahkamah (amicus curiae) untuk menawarkan bantuan kepada mahkamah,” kata Chong.

Pada 23 Oktober lalu, plantif Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan permohonan menerusi firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Shaharudin Ali yang mewakili plaintif berkata Parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang berkaitan dengan sekolah jenis kebangsaan.

Shaharuddin berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai 1982 dalam kes penubuhan Universiti Merdeka sebagai asas kepada permohonannya.

Dalam kenyataan hari ini, Chong berkata MCA sentiasa menjadi benteng pertahanan kepada sekolah vernakular, selain mempertahankan “kedudukan suci” bahasa kebangsaan yang diajar di sekolah itu.

Chong berkata dari segi sejarah, kerajaan BN ketika itu mewujudkan Akta Pendidikan, antara lain, untuk membuat peruntukan bagi mendirikan dan memelihara sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan (sekolah vernakular), dengan Bahasa Kebangsaan sebagai subjek wajib.

“Seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961 (kuasa menteri untuk menukar sekolah jenis kebangsaan kepada sekolah kebangsaan) juga ditiadakan. Sistem sebegini telah berjalan lancar selama lebih 2 dekad lamanya,” katanya.

Oleh demikian, MCA berpendirian bahawa kewujudan berterusan sekolah vernakular di negara ini bukan sahaja selari dengan Perlembagaan Persekutuan, malah bertepatan dengan semangat muhibah yang menjadi ciri utama masyarakat majmuk kita.

“Kes ini sepatutnya menamatkan perdebatan yang berpanjangan berhubung kesahihan perundangan sekolah vernakular,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS