Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah rancang hantar memorandum isu keganasan dalam negara

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mengumumkan akan menghantar memorandum terhadap parti politik dan Kementerian Dalam Negeri berkenaan isu keganasan dalam negara.

Ia dimaklumkan pengerusinya Aminuddin Yahaya, yang berkata memorandum itu akan diserahkan di Parlimen pada 5 November ini.

Beliau berkata ia bagi menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan kegiatan keganasan, terutama berkenaan penangkapan 12 individu yang disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Katanya lagi, memorandum itu juga menyentuh soal penyebaran komik Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)' di sejumlah sekolah baru-baru ini.

“Kerisauan kita terhadap penyebaran ideologi komunis yang kita semua tahu sudah tersebar lebih kurang setahun yang lepas tetapi baru-baru ini saja kita dimaklumkan tentangnya.

“Kita juga dimaklumkan tentang mereka yang berkaitan dengan LTTE ataupun komunis ini adalah merupakan pimpinan DAP,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, 10 individu didakwa di beberapa mahkamah berasingan berhubung kes LTTE, termasuklah dikatakan memberi sokongan dan memiliki barangan berkait kumpulan pengganas yang sudah tidak lagi aktif itu.

Dua lagi individu dijangka didakwa esok.

Dalam perkembangan terbaru, dua adun DAP dan dua lagi individu yaang telah didakwa berkenaan kes itu semalam, dijangka dihadapkan dengan pertuduhan baru di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Peguam Harshaan Zamani, yang merupakan sebahagian daripada pasukan peguam suspek, memberitahu Malaysiakini bahawa anggota DAP V Suresh Kumar turut dijangka didakwa buat pertama kali esok.

Sementara itu, berhubung isu komik BRI, KDN sebelum ini mewartakan pengharaman komik itu atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Polis setakat ini telah mengambil keterangan empat individu yang terlibat dalam penerbitan komik itu, termasuk kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia, Hew Kuan Yau dan artis tempatan Chong Po Ling.

Berkenaan dakwaan kaitan dengan DAP, Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata Hew dan komik tersebut tiada kaitan dengan parti itu.

Hew merupakan bekas aktivis DAP yang keluar parti pada 2016, selepas kenyataannya berkenaan Laut China Selatan mencetuskan kontroversi.

Mengulas lanjut, Aminuddin membayangkan negara dalam keadaan tidak menentu jika gerakan dan ideologi itu dibiarkan berleluasa, apatah lagi pihak daripada parti pemerintah turut didakwa terlibat.

"Jadi apakah dasar negara kita masa depan ini?

" Adakah kita akan kekal selamat kerana kita tahu gerakan ini bukan gerakan biasa tetapi telah diharamkan di peringkat antarabangsa," katanya lagi merujuk LTTE yang dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh beberapa negara, termasuk Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS