Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pelupusan aset Khazanah libatkan aset komersial, bukan strategik'

Pelupusan aset yang dibuat oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam tempoh setahun ini melibatkan aset-aset komersial dan bukan aset strategik, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata aset-aset komersial tersebut telah mencapai sasaran komersial yang ditetapkan untuk menjana hasil.

"Pertama, untuk membayar hutang Khazanah, bukan hutang kerajaan dan kedua untuk dilaburkan semula dalam pelaburan baharu bagi aset-aset strategik milik Khazanah," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Azmin berkata Khazanah tetap kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama negara.

Katanya pegangan aset strategik dalam Malaysia Airports Holdings Bhb sebanyak 33.21 peratus, Telekom Malaysia Bhd (26.15 peratus) dan Tenaga Nasional Bhd (27.27 peratus) sehingga 30 Sept, 2019.

Beliau berkata bagi tahun kewangan 2019, Khazanah dijangka kembali mencatat keuntungan sekitar RM5 bilion berbanding kerugian RM6.3 bilion pada tahun kewangan 2018.

“Memandangkan Khazanah tidak menerima suntikan dana dari sumber luar untuk pelaburannya, hasil pelupusan merupakan sumber utama untuk pelaburan baharu berbeza dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd, yang masing-masing menerima dana daripada caruman pekerja secara berkala dan dana daripada unit amanahnya.

“Pelupusan aset juga bergantung kepada masa dan kekuatan pasaran serta ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pembeli,” katanya.

Sejak Mei 2018 hingga Jun 2019, katanya Khazanah telah melaksanakan pelupusan aset berjumlah RM18.8 billion, iaitu RM3.2 bilion antara Mei dan Disember 2018, dan RM15.6 bilion dari Januari hingga Jun 2019.

Daripada jumlah pelupusan aset ini, Khazanah telah melaksanakan pelaburan baharu dalam pelbagai sektor berjumlah RM6.4 bilion, membayar hutang sebanyak RM8 bilion dan membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM1 bilion.

Katanya lebihan daripada jumlah tersebut disimpan sebagai tunai untuk tujuan pelaburan akan datang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS