Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Royalti minyak Kelantan hanya dari 2 lapangan, kata menteri

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan setakat ini adalah daripada dua lapangan pengeluaran, iaitu lapangan Bumi Selatan dan Suria Selatan yang berada dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

Sementara 10 lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, justeru hasil daripada lapangan tersebut belum disalurkan kepada mana-mana negeri.

“Ini kerana tak pernah wujud persempadanan laut antara negeri-negeri di Malaysia.

“Oleh kerana itu, bayaran tunai untuk 10 lapangan pengeluaran ini tak dibayar kepada mana-mana negeri sehingga persempadanan perairan ditentukan tertakluk pada perundangan sedia ada,” katanya dalam sesi penggulungan di Parlimen hari ini.

Katanya, bayaran tunai royalti minyak oleh Petronas terhadap 10 lapangan tersebut disalurkan ke akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD) berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019 sementara menunggu persempadanan ditentukan.

Tambahnya, hasil perbincangan yang dilakukan semalam, perdana menteri bersetuju supaya bayaran tunai royalti akan dibayar terus oleh Petronas kepada kerajaan negeri seperti yang dilaksanakan terhadap Sabah dan Sarawak, bertepatan dengan semangat perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Pada 14 Oktober, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan bahawa pembayaran royalti minyak Kelantan telah dilakukan bulan lalu.

Lim menjelaskan perkara itu selepas anggota parlimen pembangkang mendakwa belum menerima bayaran itu.

Sehari kemudian, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata bayaran RM15.7 juta yang diterima Kelantan bukanlah royalti, tetapi wang ihsan, seperti lazim diterima oleh pentadbiran BN dahulu.

Berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974, lima peratus daripada hasil pengeluaran minyak adalah menjadi milik kerajaan persekutuan manakala lima peratus lagi menjadi milik kerajaan negeri.

Jawapan Azmin tadi menyebabkan beberapa anggota parlimen dari Kelantan bangkit meminta penjelasan lanjut.

Antaranya Anggota Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi, menyifatkan hari ini sebagai hari yang “cukup malang” buat rakyat Kelantan kerana kerajaan PH telah menjumpai “alasan baru” untuk menafikan hak rakyat Kelantan.

Katanya, ia merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat Kelantan.

Bagaimanapun, Azmin ketika menjawab tuduhan itu, menyifatkannya sebagai tuduhan yang tidak adil memandangkan dia hanya memberikan pencerahan untuk mencari penyelesaian berhubung bayaran royalti kepada negeri-negeri terlibat.

“Ini bukan alasan baru. Ini maklumat yang saya perolehi terus dari Petronas …

“Saya percaya dewan tak pernah dapat akses kepada maklumat ini. Saya ambil sikap terbuka untuk dedahkan maklumat ini. Untuk dedahkan maklumat ini, saya perlu dapatkan kelulusan daripada perdana menteri.

“Beliau memberitahu saya, perkara ini perlu dibentangkan secara terbuka dalam Dewan Rakyat supaya rakyat Kelantan tahu (mengenainya)”, katanya.

Sambil menunjukkan peta 10 lapangan terbabit, Azmin turut menunjukkan bagaimana lapangan itu mungkin tertakluk kepada lebih dari satu negeri bergantung pada cara lokasinya dikira.

Malah katanya, penentuan persempadanan perairan itu juga akan dapat menyelesaikan isu berkenaan royalti pada masa hadapan jika lapangan baru ditemukan.

“Kalau kesepuluh-kesepuluh ini dalam perairan Kelantan, saya beri jaminan Petronas akan bayar terus kepada Kelantan.

“Kalau dalam perairan Pahang, saya bertanggjawab untuk beri penegasan bahawa bayaran tunai menjadi milik rakyat Pahang. Semua ini adalah Malaysia,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS