Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis mahu Lokman dikenakan sekatan buat kenyataan provokasi

Polis akan mencadangkan agar Jabatan Peguam Negara mengenakan bon (sekatan) mahkamah terhadap Lokman Adam bagi menghalang pemimpin Umno itu dari mengeluarkan kenyataan di media sosial yang boleh merosakkan keharmonian di negara.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, berikutan kenyataan Lokman pada 27 Oktober yang berbunyi "Bersiap sedia untuk peperangan paling dahsyat".

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menuduh Dr Mahathir Mohamad cuba menggunakan kuasa sebagai perdana menteri untuk menghalang presiden PKR, Anwar Ibrahim menggantikannya untuk jawatan itu.

Susulan itu, polis sudah mengesahkan bahawa akaun Facebook yang menyiarkan kenyataan tersebut adalah milik Lokman.

"Hasil semakan pihak polis, kita dapati Lokman telah kita siasat (melibatkan) sebanyak tujuh kertas siasatan terhadapnya di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), dan di kontinjen-kontinjen lain, ada sepuluh kertas siasatan lain.

"Kesemuanya 17 kertas siasatan. Dia ada banyak kenyataan yang mendatangkan provokasi dan membangkitkan ketidaktenteraman pada orang awam dan negara," kata Huzir kepada media di Bukit Aman hari ini.

Bulan ini, Lokman didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menghasut atau berkemungkinan menghasut orang awam melakukan kesalahan terhadap komuniti lain, di mana beliau mengaku tidak bersalah.

"Pertama kita kenakan syarat-syarat tambahan kepada jaminan dia yang mana kes dalam perbicaraan.

"Dia pernah kena tuduh sebelum ini. Sekiranya mahkamah setuju, dia hendaklah lapor diri di balai setiap bulan, bagi memastikan sekiranya dia lakukan lagi kesalahan-kesalahan yang dia sering lakukan.

"Kedua, untuk jaminan menjaga keamanan. Majistret sekiranya berpendapat orang itu kemungkinan lakukan pecah amanah, dia boleh dikenakan bon. Dia kena jaga diri dia supaya tak memecahkan keamanan selama tempoh yang dikenakan," katanya.

Lokman dikenali sebagai pembela tegar bekas perdana menteri Najib Razak dalam protesnya terhadap kerajaan Pakatan Harapan, dan secara aktif mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial.

 

Pada Mac lalu, Lokman dan empat orang lagi terlibat dalam kekecohan dengan pelajar Universiti Malaya dan wartawan.

Pada Jun lalu pula, Lokman ditangkap oleh polis kerana menghalang penguatkuasa daripada menjalankan tugas mereka dan menggunakan bahasa kasar terhadap polis apabila rumahnya digeledah di Kajang Hillpark.

Lokman sebelum ini juga mengeluarkan kenyataan tentang video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Dalam perkembangan berasingan, Huzir berkata pihak polis sedang menyiasat pengguna Facebook yang dikenali sebagai Maran Muniandy kerana memuat naik catatan provokasi berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

"Kita telah mengenal pasti dia dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya," kata Huzir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS