Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pengekalan penarafan kredit petanda undi percaya pada kerajaan'
Diterbitkan:  Oct 30, 2019 1:10 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Pengekalan penarafan kredit oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa terhadap Malaysia menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu mengurus kerajaan walaupun melalui kemelut kewangan yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata melalui langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan 80 peratus hutang keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 77 peratus pada bulan Jun, menunjukkan bahawa pihak syarikat penarafan menerima dan mengakui kewibawaan kerajaan PH.

"Kerajaan menghadapi banyak cabaran dalam mengurus kedudukan fiskal negara, namun pengekalan penarafan ini penting kerana ia satu petanda undi percaya kepada kemampuan kerajaan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai hutang negara yang dikatakan semakin bertambah, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Jonathan Yasin (PH-Ranau) mengenai simpanan rizab negara, jumlah pendapatan dan perbelanjaan negara pada 2018, Lim berkata rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM419.6 bilion atau US$101.4 bilion, memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 1.0 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Mengikut perangkaan terbaru, katanya pada 15 Okt, 2019, rizab antarabangsa Malaysia telah meningkat kepada RM432.7 bilion atau US$103.3 bilion, iaitu memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Sementara itu pada tahun 2018, beliau berkata jumlah hasil kerajaan Persekutuan adalah RM232.9 bilion, manakala bagi perbelanjaan pula adalah RM287.1 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM231.0 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM56.1 bilion.

Menjawab soalan tambahan tentang bagaimana kerajaan menambah pendapatannya, Lim berkata ia dapat dilaksanakan melalui proses pelupusan harta yang merupakan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan bukannya Kementerian Kewangan.

"Sehingga kini, tidak ada tanah yang dilupuskan oleh kerajaan PH sejak mengambil alih pada 9 Mei 2018.

"Pelupusan tanah dibuat kerajaan terdahulu yang menerima hasil berjumlah RM4.3 bilion.

"Namun hasil ini sudah tentu dapat ditambah kalau ia dilakukan secara tender terbuka, mungkin meningkat sekali ganda kalau mengikut harga pasaran," katanya.

Beliau berkata, melihat kepada kedudukan hutang langsung negara, sehingga akhir Jun, ia berjumlah RM799.1 bilion atau 52.7 peratus daripada KDNK, masih kekal di bawah paras 55 peratus yang ditetapkan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS