Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salleh mahu menyumbang, ikrar jayakan reformasi
Diterbitkan:  Oct 30, 2019 9:19 AM
Dikemaskini: 1:21 AM

Ibarat digantung tidak bertali, bekas menteri kanan BN, Salleh Said Keruak, hari ini menyatakan harapannya untuk diberi peluang menyertai salah satu parti komponen PH untuk membolehkannya menyumbang kepada politik kesederhanaan dalam negara ini.

Beliau juga menyatakan azamnya untuk memberikan kerjasama menjayakan agenda reformasi dan perubahan politik Malaysia demi kebaikan rakyat seluruhnya.

Menyatakan harapannya itu dalam hantaran di blognya, Salleh yang pernah menjadi menteri komunikasi dan multimedia di bawah Najib Razak berkata beliau memahami sebab kepemimpinan PKR memerlukan masa untuk mengesahkan keanggotaannya dalam parti tersebut.

"Saya berharap diberikan peluang untuk memberi sumbangan dengan sedaya upaya saya ke arah pemupukan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, untuk Sabah khususnya, dan Malaysia amnya.

"Saya turut akan memberikan komitmen serta kerjasama dengan parti dalam menjayakan agenda reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat," kata bekas ketua menteri Sabah itu.

Salleh adalah bekas anggota parlimen Umno untuk kawasan Kota Belud pada pilihan raya umum (PRU) ke-11 lalu apabila tempatnya digantikan oleh Abdul Rahman Dahlan.

Beliau kemudian dipilih menjadi senator dan dilantik menjadi menteri di bawah kerajaan pimpinan Najib.


Baca 'Salleh Samurai terakhir Najib'


Sebagai menteri Salleh begitu gigih membela Najib yang diserang oleh pembangkang dan pemimpin Umno sendiri dalam skandal 1MDB. Bagaimanapun dalam PRU lalu beliau dikalahkan calon Warisan, Isnaraissah Munirah Majlis dengan kelebihan lebih 4,200 undi.

Pada 5 Okt lalu media melaporkan Salleh memohon untuk menyertai PKR namun statusnya - sama ada diterima atau ditolak - belum diputuskan. 

Bagaimanapun Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata beliau tidak ada halangan untuk menerima Salleh dalam parti tersebut namun parti tetap perlu mengambil kira sentimen ahli di peringkat akar umbi. 

Salleh berkata beliau sudah dimaklumkan secara peribadi oleh Anwar mengenai kedudukannya dalam PKR baru-baru ini.

Katanya, beliau memahami mengapa kepemimpinan PKR memerlukan sedikit masa untuk membincangkan kedudukannya dalam parti berkenaan dan menerima keadaan itu.

"Saya menyerahkan kepada parti untuk berbincang dan mempertimbangkan permohonan saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS