Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kementerian nafi ada syarat baru perbaharui lesen pemandu lori

Kementerian Pengangkutan menafikan ada mengenakan syarat baru berhubung kesihatan diri terhadap pemandu lori yang ingin memperbaharui lesen memandu seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Timbalan menterinya Kamarudin Jaffar berkata proses pembaharuan lesen untuk setiap pemandu lori adalah sama seperti prosedur biasa, tanpa sebarang perubahan.

“Saya nak sebut di sini dengan jelas bahawa tidak ada apa-apa perubahan dasar yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kesihatan.

“Isu berkaitan pengesahan kesihatan bukan dilakukan JPJ tetapi dilakukan doktor yang tertakluk di bawah satu kaedah ditentukan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kamarudin berkata demikian sebagai mengulas luahan pemandu lori yang mendakwa ditindas JPJ berikutan syarat baru pembaharuan lesen yang dikatakan memerlukan keputusan pemeriksaan kesihatan.

Justeru itu, Kamarudin yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak, berkata pemandu lori seharusnya tidak mudah percaya dengan dakwaan tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kegelisahan dan kegusaran dalam kalangan mereka.

“Pastikan anda semua tidak sertai sebarang mogok,” katanya sambil memberi amaran agar tiada mana-mana pihak menyebarkan maklumat tidak tepat.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berusaha untuk memudahkan rakyat negara ini dalam setiap urusan terutamanya mencari pendapatan.

“Saya sedih kalau ini dijadikan isu politik. Dalam kerajaan PH, kita mahu tumpukan kepada rakyat, beri peluang mereka jana ekonomi.

“Kalau ada pihak yang ada niat jahat untuk pecah belah bawa isu perkauman, maka saya fikir ini perlu diambil tindakan,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS