Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida: Tiada lagi isu PM ke-8, tiada lagi isu pengkhianatan

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida menegaskan gabungan itu tidak perlu lagi menyentuh atau membincangkan mengenai isu peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri kelapan.

Kata Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, ini kerana sudah tiba masanya pemimpin PH mula bekerja dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Kita dah tak nak sentuh isu ini. Tiada lagi isu perdana menteri kelapan, tak ada lagi isu pengkhianatan.

"Kita kena 'move on' dan mula buat kerja dan fokus kepada ekonomi dan beri perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Zuraida berkata demikian mengulas percubaan menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Anwar ketika berucap dalam Kongres PKR di Sabah, semalam mendakwa ada 'pengkhianat' yang mahu menghalang peralihan kuasa jawatan perdana menteri diserahkan kepadanya.

Tanpa menamakan siapa, Anwar berkata pengkhianat itu banyak membuat tuduhan menunjukkan beliau tidak sabar untuk menjadi perdana menteri.

“Kita sebenarnya harap tumpukan ekonomi saya tak bincang sangat sebenarnya pasal transisi (perdana menteri. Tapi ada orang khianat dan ini yang masalahnya mereka kata Anwar tak sabar jadi perdana menteri.

“Saya dah tunggu 20 tahun, kalau Allah kata nak jadi (perdana menteri) maka jadilah,” kata Anwar.

Sementara itu, mengulas tuntutannya berhubung mesyuarat rekonsiliasi, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR berkata beliau masih menunggu.

“Saya masih menunggu. Saya menunggu,” katanya ringkas.

Anwar pada 17 September menegaskan tidak bersedia dengan tuntutan anggota Parlimen Ampang itu agar “mesyuarat rekonsiliasi” diadakan antara presiden PKR itu dan pihak dalam parti itu yang tidak berpuas hati dengannya.

Sebaliknya, kata Anwar, beliau boleh berjumpa dengan mereka dalam banyak mesyuarat biasa PKR yang mereka pulaukan.

Mesyuarat biro politik PKR diadakan setiap Rabu dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu bermesyuarat pada setiap bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS