Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kegagalan rangkaian operasi KLIA, bukan serangan siber’
Diterbitkan:  Oct 29, 2019 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

PARLIMEN l Tiada sebarang bukti setakat ini yang boleh mengaitkan serangan siber menjadi punca kegagalan rangkaian Total Airport Management Systems (TAMS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Peringkat Kementerian bagi menyiasat insiden itu mendapati, ia disebabkan oleh kegagalan Rangkaian Suis Teras untuk berfungsi dan ketidakupayaan bagi memisahkan rangkaian suis teras itu.

Suis teras itu digunakan sejak KLIA mula beroperasi pada 1998 dan tidak diganti.

“Suis teras adalah suis utama yang menghubungkan kesemua rangkaian sistem di KLIA. Bagaimanapun, polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur khianat atau sabotaj.

“Setakat ini, pihak polis belum mendakwa mana-mana individu berkenaan kes gangguan yang berlaku Ogos lepas. Itu maksudnya belum ada sesiapa yang dibabitkan (implicate) dalam kes ini,” katanya pada sesi jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Latiff Ahmad (PH-Mersing) mengenai status siasatan pihak polis dalam gangguan rangkaian operasi di KLIA.

Pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) masih menyiasat jumlah kerugian yang ditanggung ekoran kejadian itu termasuk kerugian yang didakwa oleh syarikat-syarikat penerbangan, katanya.

Loke berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan langkah-langkah yang dicadangkan jawatankuasa berkenaan bagi mencegah insiden sama berulang pada masa hadapan.

Pada 28 Ogos lepas, Kementerian Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa untuk menentukan hal keadaan dan punca sebenar kegagalan rangkaian TAMS di KLIA.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS