Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan had waktu bagi pengambilan minuman keras di beberapa kawasan terpilih.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Afif berkata larangan untuk mengambil minuman keras bermula dari jam 9 malam sehingga 7 pagi di beberapa kawasan yang dipilih boleh mengurangkan kadar kemalangan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Kerajaan boleh mengambil pendekatan seperti mana yang diamalkan di bandar Nelson, New Zealand yang memperkenalkan sekatan penggunaan alkohol bermula jam 9 malam hingga 7 pagi di lokasi-lokasi yang spesifik.
"Dasar ini juga menetapkan denda yang berat kepada mereka yang minum alkohol atau berada dalam keadaan mabuk di tempat terbuka pada tempoh tersebut.
"Ternyata dasar ini menjadikan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak berani untuk berada di atas jalan raya," kata Afif yang juga merupakan Adun Seberang Jaya.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menyokong usul yang dicadangkan oleh Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid yang meminta kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Kata Afif, perubahan polisi bagi menjadikan jalan raya sebagai tempat yang selamat daripada ancaman pemandu cuai memerlukan sokongan penuh daripada kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan.
"Sudah tiba masanya kita bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk menghentikan masalah ini daripada terus berlaku supaya tidak ada lagi nyawa yang tidak berdosa menjadi angka korban yang seterusnya akibat sikap kita yang cuai dan mementingkan diri," katanya.
Desakan itu dibuat oleh Afif dan Syerleena selepas kematian Mohaidin Gani Mohamad pada 25 Okt lalu yang dipercayai dilanggar oleh pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian tersebut, Mohaidin Gani, 58 yang juga merupakan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dilanggar kereta ketika waktu subuh.
Seorang warga China berusia 24 tahun kemudiannya telah ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes tersebut.