Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pengekalan penarafan kredit jawab kritikan k'jaan tak urus ekonomi dengan baik'

Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia adalah jawapan terbaik terhadap kritikan bahawa kerajaan tidak menguruskan ekonomi negara dengan baik atau telah meningkatkan hutang kerajaan secara berlebihan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata pembaharuan institusi telah membantu Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Menjalankan Perniagaan 2020 terbitan Bank Dunia ke kedudukan ke-12 bagi 2020, daripada tempat ke-15 pada 2019.

Malaysia juga adalah antara negara yang mencatatkan kenaikan terbesar dalam Indeks Tadbir Urus Sedunia (WGI) 2018 yang diterbitkan awal bulan ini, yang mana merupakan perkembangan positif bagi penarafan kredit berdaulat Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Indeks Menjalankan Perniagaan Bank Dunia mengukur keberkesanan peraturan perniagaan serta pelaksanaannya di 190 negara.

Markah Malaysia dalam Indeks Menjalankan Perniagaan 2020 meningkat 0.2 mata dan membolehkan negara menaiki 3 anak tangga ke kedudukan ke-12 bagi 2020 daripada tempat ke-15 bagi 2019.

Ini adalah kedudukan Malaysia yang terbaik sejak 2015.

Lim berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh penambahbaikan yang dibuat dari sudut memulakan perniagaan dan mendapatkan permit pembinaan.

Malaysia juga menduduki tempat ke-4 di Asia selepas Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan sebagai negara paling mudah untuk menjalankan perniagaan yang mana ia merupakan peningkatan daripada tahun sebelumnya di mana Malaysia menduduki tangga ke-5.

Selain itu, Malaysia juga merupakan antara negara yang mencatatkan kenaikan terbesar dalam WGI terbaru bagi 2018, hasil daripada pembaharuan institusi meluas yang dilaksanakan oleh kerajaan.

WGI mengukur kualiti institusi di 214 negara dengan mengambil kira enam dimensi iaitu akauntabiliti, kestabilan politik, keberkesanan kerajaan, kualiti peraturan, kedaulatan undang-undang dan rasuah.

Markah Malaysia dalam lima daripada enam dimensi tersebut telah menunjukkan peningkatan.

Lim berkata, prestasi positif dalam kedua-dua indeks itu akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia tinggi pada paras A3 atau A-.

Peningkatan dalam negara

Di dalam negara, ekonomi terus menunjukkan daya tahan yang tinggi dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi Ogos 2019 meningkat 1.9 peratus tahun-ke-tahun, lebih tinggi daripada peningkatan 1.2 peratus pada Julai.

Ini disumbang oleh pengembangan sektor pembuatan yang mampan serta pemulihan output bagi sektor perlombongan. Kadar inflasi bagi September 2019 berada pada paras 1.1 peratus.

Inflasi yang rendah dan stabil adalah kondusif bagi pengembangan penggunaan swasta.

Nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.8 peratus tahun-ke-tahun pada Ogos 2019, iaitu lebih tinggi daripada kenaikan 5.7 peratus pada Julai.

Kadar pengangguran bagi Ogos 2019 pula adalah rendah dan stabil pada 3.3 peratus.

Lim berkata kerajaan komited melaksanakan pembaharuan institusi, sambil membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Hasil pelaksanaan pembaharuan institusi dan pertumbuhan ekonomi mampan akan terus mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia yang tinggi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS