Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga gesa nasib tahanan LTTE ditentukan sebelum Khamis

Isteri kepada Adun Gadek iaitu Umar Devi menggesa keputusan berhubung penahanan suaminya di bawah Akta Kesalahan Keselamanatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dibuat sebelum Khamis.

Suaminya, G Suminathan sebelum ini ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Kami akan fail habeas corpus Khamis minggu depan. Jadi saya harap tak perlu mahkamah putuskan ini. Habis siasatan dan tiada masalah, lepaskanlah mereka.

“Jadi sebelum Khamis saya minta jawapan yang terbaik daripada pihak berkuasa,” kata Umar Devi kepada pemberita di ibu pejabat polis Kuala Lumpur hari ini.

Dia dan anak lelakinya yang berusia satu tahun, serta adik-beradik dan ibu bapa Saminathan, tiba ke balai tersebut untuk melawat Adun dari Melaka itu, selama satu setengah jam sempena sambutan Deepavali.

Walaupun pihak polis pada mulanya mengatakan mereka akan diberi selama dua jam untuk bertemu Saminathan, Umar Devi berkata mereka hanya menghabiskan satu jam lebih ketika lawatan itu kerana terpaksa memberi peluang kepada ahli keluarga tahanan lain.

Katanya, dia membawa thosai dan murukku untuk Saminathan ketika melawat.

Suaminya kehilangan banyak berat badan sejak ditahan pertama kali, 17 hari lalu dan jambangnya juga tidak terurus, katanya yang mengatakan sangat sedih melihat keadaan suaminya pada Hari Deepavali.

“Teruk sangat,” katanya sambil menitiskan air matanya ketika ditanya bagaimana perasaannya menyambut Deepavali tanpa suaminya tahun ini.

Umar Devi berkata, sebagai wakil rakyat yang dipilih, suaminya biasanya sangat sibuk berkhidmat di kawasannya.

Katanya lagi, Deepavali merupakan hari di mana mereka sekeluarga dapat berkumpul dan pergi ke kuil serta menikmati pelbagai juadah bersama.

Kini, mereka sekeluarga perlu menunggu sehingga tahun depan untuk meluangkan masa bersama keluarga, tambahnya.

Selain Saminathan, pihak polis sebelum ini menahan 12 individu yang disyaki terlibat dengan LTTE di bawah Sosma termasuk Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran.

LTTE terlibat dalam perang saudara dengan kerajaan Sri Lanka - untuk memerdekakan wilayah yang dikuasai majoriti Tamil di negara itu. Bagaimanapun LTTE dikalahkan kerajaan Sri Lanka pada 2009.

Perjuangan LTTE mendapat simpati dan sokongan etnik Tamil di negara-negara lain tetapi disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh sejumlah negara, termasuk Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS