Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun gesa hukuman lebih berat untuk kes kemalangan akibat mabuk
Diterbitkan:  Oct 27, 2019 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Seorang adun Pulau Pinang menggesa kerajaan meningkatkan hukuman terhadap mereka yang menyebabkan kemalangan akibat memandu ketika mabuk.

Dalam kenyataan hari ini, Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid berkata undang-undang pada masa ini memperuntukkan hukuman penjara paling kurang tiga tahun dan denda RM8,000, yang menurutnya tidak memadai sebagai pencegahan.

Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih sepuluh tahun, jika sabit kesalahan menyebabkan kematian atau kecederaan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Seksyen itu juga memperuntukkan denda antara RM8,000 hingga RM20,000.

Syerleena berkata gesaan itu susulan kematian pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang Mohaidin Gani Mohamad pada 25 Oktober lalu, dilaporkan akibat dilanggar seorang pemandu mabuk.

"Usaha yang padu diperlukan di mana semua pihak - kerajaan, penguatkuasa, premis perniagaan minuman alkohol dan orang awam - memainkan peranan penting untuk menghantar mesej bahawa tiada tolak ansur terhadap pemanduan ketika mabuk.

"Pemilik perniagaan perlu juga bertanggungjawab terhadap keadaan pelanggan mereka. Pastikan pelanggan faham sepenuhnya kesan daripada memandu ketika pengaruh alkohol dan akibat yang akan dihadapi jika berlaku kemalangan," kata adun daripada DAP itu.

Mohaidin, 58, dilanggar oleh sebuah kereta dalam satu kejadian awal pagi. Seorang warga China berusia 24 tahun telah ditahan dan direman selama empat hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS