Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sempena Deepavali, Ramasamy gesa tahanan Sosma dibebas atau didakwa
Diterbitkan:  Oct 26, 2019 9:48 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Sempena sambutan Deepavali esok, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy menggesa agar mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) baru-baru ini sama ada dibebaskan atau didakwa.

Mereka sebelum ini ditahan di bawah akta itu kerana dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Dengan semangat Deepavali, saya dan keluarga menyampaikan simpati kepada mereka yang ditangkap dan ditahan di bawah undang-undang yang tidak adil di negara ini.

"Penangkapan dan penahanan 12 individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan LTTE yang sudah tidak aktif mesti dididakwa dan diberikan ikat jamin di mahkamah terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LTTE, yang mengangkat senjata bagi menentang kerajaan Sri Lanka untuk membebaskan wilayah yang dikuasai majoriti etnik Tamil, tewas pada tahun 2009.

Kumpulan itu menerima simpati daripada kalangan etnik Tamil di seluruh dunia tetapi LTTE di Malaysia dianggap sebagai organisasi pengganas.

Ramasamy menegaskan bahawa keluarga mereka yang ditahan akan meraikan Deepavali tanpa orang tersayang.

"Saya amat prihatin terhadap isteri, ibu bapa dan anak-anak tahanan yang mungkin tidak dapat meraikan acara yang menggembirakan ini.

"Saya menggesa mereka agar berani dan orang yang mereka sayangi akan segera dibebaskan kerana mereka tidak melakukan kesalahan," kata ahli jawatankuasa DAP Pulau Pinang itu.

Antara mereka yang ditahan di bawah Sosma termasuk bekas dan ahli DAP, PKR dan PAS.

Mereka termasuk Adun Seremban Jaya P Gunasekaran dan Adun Gadek, G Saminathan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Batu Gajah, D V Sivakumar berkata sambutan Deepavali tahun ini suram bagi masyarakat India, terutama bagi keluarga tahanan Sosma.

Beliau juga menyeru agar kerajaan segera melepaskan semua tahanan terbabit.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS