Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guna komik sebar propaganda mirip taktik militan, kata pakar deradikalisasi

Penyebaran komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan–Meraih Manfaat Bersama' disifatkan mirip kepada taktik yang digunakan untuk menyebarkan ideologi militan.

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan, Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam, berkata penerbitan komik oleh Hew Kuan Yau atau 'Superman' itu merupakan strategi bagi mempengaruhi anak muda.

"Penerbitan komik oleh ataupun kartun adalah cara halus untuk 'indoktrinisasi' generasi muda, kita percaya ini adalah cara ampuh untuk menyebarkan sesuatu propaganda yang disasarkan kepada golongan muda.

"Malah kumpulan militan Daesh (IS) pun hasilkan kartun dalam majalah mereka iaitu Dabiq dan al-Hayat.

"Ia bertujuan untuk menyebarkan ideologi teroris (pengganas) dengan penggunaan kartun, kita percaya ini adalah teknik halus bagi menyebarkan propaganda," katanya ketika sesi wawancara bersama Malaysiakini.

Mohd Mizan yang juga salah seorang pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandangan elemen sebegitu tidak seharusnya dibenarkan dalam negara ini.

Pada 23 Okt lalu, KDN mengumumkan pengharaman komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan–Meraih Manfaat Bersama' yang dihasilkan Hew yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan Malaysia-China.

Pengharaman itu dibuat atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Pengharaman itu dikenakan terhadap ketiga-tiga versi komik itu- bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Kontroversi timbul apabila komik itu dikatakan diedarkan di beberapa sekolah di negara ini secara percuma.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan kementeriannya pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya, dan sudah memberi arahan agar buku itu tidak diedarkan di sekolah.

KPM juga dilaporkan sedang menyiasat tentang penyebaran komik yang diterbitkan oleh kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia dengan kerjasama artis tempatan Chong Po Ling.

Sementara itu, Mohd Mizan menyifatkan keputusan kerajaan mengharamkan komik propaganda itu sebagai satu langkah tepat.

"Elemen sebegini tidak harus dibenarkan dalam negara kita, apatah terdapat unsur penyelewengan yang cuba memesongkan tentang Islam dan idelogi komunis," katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga perlu menetapkan satu standard operasi prosedur (SOP) bagi pemberian hadiah kepada negara luar.

Katanya, kejadian Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad "secara tidak segaja" menghadiahkan komik berkenaan Presiden China, Xi Jinping tidak sepatutnya berlaku.

Pejabat Perdana Menteri pada 18 Okt lalu menafikan pembabitan Dr Mahathir dalam penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan–Meraih Manfaat Bersama' atau mengetahui isi kandungan komik itu.

Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri turut menafikan dakwaan mengatakan komik itu adalah hadiah rasmi daripada Dr Mahathir kepada Presiden China, Xi Jinping.

"Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa buku ini bukan hadiah rasmi semasa pertemuan tersebut dan ia dibawa tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul," kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS