Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
60,000 pemandu e-hailing lulus PSV
Diterbitkan:  Oct 25, 2019 10:59 AM
Dikemaskini: 6:02 AM

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Shaharuddin Khalid berkata, sehingga kini lebih daripada 60,000 pemandu e-hailing, telah lulus Lesen Vokasional Malaysia (PSV) seperti yang diwajibkan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, pada masa ini selain pendaftaran bagi mendapatkan lesen berkenaan yang berterusan setiap hari, JPJ juga telah meluluskan kursus latihan secara dalam talian di beberapa pusat dibenarkan.

“Kami secara berterusan mengadakan pendaftaran, mengadakan peperiksaan secara ramai-ramai untuk pemandu e-hailing, jadi kami boleh mempercepatkan proses menyediakan mereka dengan lesen yang diperlukan.

"Di Lembah Klang sahaja, kira-kira 2,000 pemandu e-hailing menduduki peperiksaan setiap minggu, kami mendapat sambutan amat menggalakan daripada mereka yang menjalankan operasi perniagaan e-hailing. Kami tidak lihat sebarang masalah dan pada hujung tahun ini, kami jangkakan, kesemua pemandu e-hailing akan mempunyai lesen PSV,” katanya selepas program JPJ bersama Media di Labuan semalam.

Sementara itu, Shaharuddin berkata sehingga kini sejumlah 74,876 kenderaan telah didaftarkan JPJ di pulau bebas cukai dengan 1,577 buah kenderaan didaftarkan dari Januari hingga 24 Okt.

“Ini menunjukkan pendaftaran kenderaan baru di Labuan berterusan dan kami mahu memastikan kesemua kenderaan yang didaftarkan, mengikut peraturan dan undang-undang yang diperlukan,” katanya.

Shaharuddin berkata, bagi tempoh yang sama, seramai 1,801 pemandu baru telah lulus lesen memandu masing-masing.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS