Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM nafi henti bayaran insentif pada pembantu tadbir di Perak

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semalam menafikan dakwaan pemberhentian Bayaran Insentif Tugas Kewangan (BITK) kepada 1,084 pembantu tadbir (perkeranian/operasi) yang menjalankan tugas kewangan di sekolah di Perak.

Kementerian itu dalam kenyataan menegaskan pembantu tadbir yang melaksanakan tugas pengurusan kewangan masih layak dipertimbangkan menerima insentif itu berdasarkan surat makluman bertarikh 30 Sept mengenai Pelaksanaan Permohonan BITK seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2019.

"Kementerian Pendidikan mendapati terdapat salah faham sebilangan Jabatan Pendidikan Negeri terhadap Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2019 mengenai Bayaran Insentif Tugas Kewangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Semua Jabatan Pendidikan Negeri/Bahagian perlu melaksanakan pembayaran Bayaran Insentif Tugas Kewangan itu kepada semua pegawai yang layak selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2019," menurut kenyataan itu.

Semalam, Bernama melaporkan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, beliau menerima aduan berhubung bayaran BITK yang ditamatkan tanpa notis kepada pembantu tadbir di sekolah di Perak.

Berdasarkan aduan itu, Azih menjelaskan penamatan pemberian elaun sejumlah RM40 itu hanya disedari sewaktu kemasukan gaji Oktober baru-baru ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS