Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Rata-rata peniaga makanan atau pengusaha restoran di Kelantan menyatakan rasa tidak setuju dengan rancangan kerajaan negeri untuk mengehadkan masa berniaga sehingga jam 12 tengah malam.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, kebanyakan mereka menolak alasan bahawa operasi restoran melebihi waktu itu menjadi faktor utama yang menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan remaja.

Mohd Nazri Husin, 39, berpendapat mengekang operasi kedai makan selepas tengah malam tidak sesuai dilaksanakan kerana dibimbangi ia hanya akan menjejaskan jualan harian peniaga.

Tidak menafikan soal rezeki adalah ketentuan Allah SWT, menurut Mohd Nazri, biasanya seseorang peniaga mempunyai sasaran harian berdasarkan pelbagai faktor antaranya kos modal dan margin keuntungan.

"Bagi saya larangan itu tidak sesuai kerana akan menyingkatkan waktu peniagaan, sedangkan kita tanggung banyak kos termasuk membayar gaji pekerja. Semua kena ambil kira.

"Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, kalau tempoh meniaga singkat, kami khuatir akan alami kerugian," katanya.

Menurut Mohd Nazri, mengenai gejala sosial, ia boleh berlaku di mana-mana saja dan bukan semestinya berpunca daripada golongan remaja melepak di kedai makan.

Akan cari jalan lain

Di kedainya sendiri, kata peniaga kuetiau di Kota Bharu itu, tidak ramai yang datang untuk melepak atau berbual-bual lama, terutama selepas larangan merokok dikuatkuasakan.

Pada 21 Okt lalu Malaysiakini melaporkan keputusan kerajaan Kelantan mengehadkan masa berniaga bagi kedai makan, warung dan restoran hanya setakat jam 12 tengah malam.

Larangan yang diumum Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, itu akan bermula tahun depan.

Mengekang gejala sosial menjadi alasan untuk kerajaan negeri mengambil langkah tersebut.

Sementara itu peniaga kedai makan, Abdul Rashid Mat Jusoh, 40-an, berkata kerajaan negeri tidak perlu bertindak sedemikian kerana tanpa kedai makan beroperasi pun, golongan yang terlibat dalam gejala sosial akan memikirkan jalan lain untuk meneruskan aktiviti mereka.

"Saya tak setuju, banyak altenatif lain budak-budak boleh melepak.

"Kalau tutup kedai makan pun mereka boleh lepak tepi jalan, atas wakaf, berlumba motosikal, sedangkan peniaga mencari rezeki, kami bukan sediakan tempat buat perkara tak elok," katanya.

Mohd Zaidi Nuh, 40-an, pula turut menyanggah alasan yang mengatakan kedai makan dan restoran menjadi tempat membiaknya gejala sosial dalam kalangan remaja.

Katanya, tanggapan itu tidak tepat kerana golongan remaja tidak berani untuk melakukan aktiviti tidak bermoral di kawasan umum seperti restoran.

"Bukan sebab kedai makan budak-budak jadi rosak, saya tak setuju. Kita sediakan hidangan makanan kepada mereka yang memerlukan, macam orang yang bekerja syif malam, dan yang dalam perjalanan jauh seperti dari Kuala Lumpur misalnya.

"Sebelum larangan ini diputuskan, kita kena faham keadaan ini dan melihatnya dari sudut lebih luas," katanya.

Cadang ketatkan lagi

Bagi Fazrul Rahman, 48, yang juga tidak bersetuju dengan idea berkenaan menyarankan hanya kawasan tertentu dikenakan larangan tersebut, bukannya meliputi seluruh Kelantan.

"Kalau di kawasan tumpuan, memang perlu ada kerana ada permintaan yang tinggi, macam di Wakaf Che Yeh yang sentiasa jadi tumpuan orang ramai dan pelancong.

"Kalau kawasan kurang tumpuan mungkin boleh laksanakan larangan, banyak perkara perlu diperhalusi oleh kerajaan," ujarnya.

Fazrul Rahman.

Dalam perkembangan sama pengusaha restoran berasaskan masakan ketam, Muhammad Syawal Mahmood, 30-an, memilih untuk bersetuju dengan perancangan kerajaan Kelantan itu.

Malah dia juga mencadangkan undang-undang sedia ada diperkekatkan lagi.

"Bagi saya cadangan ini baik kepada rakyat Kelantan dalam membendung masalah sosial sekiranya pihak berkuasa tempatan dan agensi lain bekerjasama membanteras gejala tidak sihat ini.

"Kerajaan negeri perlu perketatkan lagi undang-undang yang sedia ada, sebab bagi saya selepas tengah malam ini lebih banyak benda buruk daripada perkara baik.

"Rasanya betullah apa yang kerajaan negeri fikirkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS