Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian, penyakit akibat vape tetap akan berlaku di Malaysia

Seorang pakar perubatan mengakui ketika ini kes kematian membabitkan pengguna vape hanya dilaporkan berlaku di AS, namun masalah itu akhirnya akan tetap melanda negara ini.

Menurut Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Prof Dr Lekhraj Rampal, kematian itu berlaku sekarang kerana penduduk AS lebih awal menggunakan vape berbanding di Malaysia.

Menganggap pengguna vape di Malaysia sebagai "sangai liberal" beliau berkata tanggapan bahawa vape selamat dibuat berdasarkan keadaan yang mereka lihat di United Kingdom.

“Di Malaysia, mereka sangat liberal, mereka kata: ianya OK kerana di United Kingdom juga OK.

“Tapi mereka (pengguna vape) di AS sudah bermula lebih awal. Dan akhirnya masalah (penyakit) itu juga akan timbul di negara ini.

“Apabila sudah tiba masanya (penyakit) timbul di sini, ianya sudah terlambat buat rakyat Malaysia,” kata Lekhraj dalam sidang media untuk menyokong usaha kerajaan mengharamkan vape dan rokok elektronik di negara ini dengan segera.

Ia dianjurkan oleh Ikram Health di Kuala Lumpur hari ini.

Lekhraj juga berkata hanya masa akan menentukan masalah kesihatan yang bakal dialami penggunaan rokok elektronik dan vape kerana isu seperti kanser dan jangkitan paru-paru mengambil masa untuk dikesan.

Sengaja cipta kecelaruan

Agensi berita Xinhua sebelum ini melaporkan sebanyak 33 kematian berpunca daripada penggunaan vape dicatatkan di AS setakat 15 Okt ini.

Laporan itu yang memetik dapatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) juga menyebut sebanyak 1,479 kes penyakit berkaitan penggunaan vape dicatatkan di 24 negeri di AS yang membabitkan pesakit berumur lingkungan 44 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dalam sidang Dewan Rakyat semalam menjelaskan Kementerian Kesihatan tidak mempunyai maklumat sama ada cecair rokok elektronik itu akan memberi kesan jangka panjang atau tidak kepada paru-paru.

Pihak kementerian juga, katanya, tidak mempunyai bukti atau kajian yang menunjukkan penggunaan vape dan rokok elektronik selamat digunakan bagi merawat ketagihan merokok.

Lekhraj turut menyelar strategi digunakan oleh pihak yang terlibat dalam industri vape di negara ini.

Katanya, strategi pemasaran yang dilakukan oleh sama seperti apa yang pernah dilakukan syarikat tembakau satu ketika dahulu.

“(Syarikat) vape sedang menggunakan (strategi) itu sekarang, seperti berada dalam penafian, mencipta kecelaruan maklumat dan meminta bukti (vape berbahaya).

Beliau kemudian memberikan contoh bagaimana pihak industri di AS mengetahui tentang bahaya ketagihan nikotin tetapi tidak memaklumkannya kepada umum.


Baca Isu larangan merokok 'selesai' kalau Sharnaaz jadi menteri


“Jika anda pergi ke Google dan cari kes mahkamah di AS, anda akan menemui segala maklumat tentang perkara itu, bagaimana mereka menafikan pada awal kemunculan tembakau kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Shaari Ahmad Junid, berkata ada hampir 50 pertubuhan memberikan sokongan untuk mendesak kerajaan mengharamkan vape atau rokok elektronik secara menyeluruh di negara ini.

Katanya langkah seumpama itu sudah diambil oleh 43 negara lain dan Malaysia wajar mencontohi mereka.

“Negara serantau seperti Thailand, Singapura, Brunei dan Kemboja telah mengharamkan secara menyeluruh, tanpa sebarang kompromi.

“Tiada alasan untuk Malaysia terus membiarkan kemusnahan dan kemudaratan ini terus berleluasa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS